Telegram Melayu Hebat, Undang-undang lebih keras diseru

Beberapa aktivis menyeru undang-undang terhadap gangguan seksual diperkuatkan susulan pembongkaran sebuah kumpulan sembang di aplikasi Telegram yang menyebarkan gambar wanita dan kanak-kanak tanpa kebenaran.

Empat wanita membuat laporan polis terhadap kumpulan itu. Mereka antara yang menjadi mangsa gambar disebar dalam kumpulan itu.

Sheena Gurbakhash, presiden Persatuan Peguam Wanita, berkata Kanun Keseksaan boleh digunakan bagi kes seperti itu tetapi menyeru undang-undang dijadikan lebih khusus.

“Kita tak ada undang-undang yang cukup kuat untuk secara khusus menangani masalah gangguan seksual atau buli siber,” katanya.



Mengenai kumpulan sembang bermasalah itu, Sheena berkata: “Mereka mengaibkan dan merosakkan mangsa, yang kebanyakannya tidak tahu gambar mereka diedarkan dan diulas oleh ribuan orang yang mereka tak kenal.”

Katanya, mangsa juga harus diberi sokongan lebih baik dalam bentuk khidmat kaunseling kerana trauma jenayah itu. Tambahnya, persatuan beliau terus berkempen untuk undang-undang terhadap gangguan seksual dan buli siber.

“Kita diberitahu Akta Gangguan Seksual akan dibentangkan akhir tahun ini. Kita sangat berharap undang-undang ini akan dibentangkan dan diluluskan kali ini.”

Lubuk lucah Malaysia dalam Telegram



Sementara itu, Nisha Sabanayagam, pengurus program dan operasi Persatuan Tindakan Semua Wanita (Awam), bersetuju undang-undang baharu sangat diperlukan.

“Kita perlu membentangkan Rang Undang-undang Gangguan Seksual dan rang undang-undang anti-hendap untuk memastikan mangsa yang terselamat lebih cepat mendapat akses kepada pengadilan dan selamat tanpa didedahkan identiti.”

Nisha juga mahu melihat Putrajaya secara terus menangani masalah itu dalam mesyuarat Dewan Rakyat yang akan datang, apabila Belanjawan 2021 dibentangkan.



“Kerajaan boleh peruntukkan dana untuk menubuhkan suatu unit jenayah siber berdasarkan jantina untuk membantu memerangi jenayah sedemikian di ruang siber,” katanya.

Menurut Michael Chong, ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, laporan mengenai kumpulan sembang seperti yang didedahkan baru-baru ini sering dilaporkan dan menimbulkan risiko kepada wanita di mana gambar mereka boleh digunakan untuk kegiatan jenayah.

Katanya, gambar wanita boleh digunakan untuk menipu seseorang bagi mendapatkan wang, sambil menambah tidak banyak bantuan perundangan yang ada bagi wanita yang menjadi sasaran.

Merujuk kepada kumpulan Telegram itu, Chong berkata tidak dapat dibayangkan berapa ramai orang sudah dapat gambar-gambar itu.



“Gambar-gambar ini tersebar dan anda tak boleh hentikannya,” katanya. “Bila anda tahu, sudah terlambat. Banyak wanita tak akan tahu.

“Sebaik sahaja gambar masuk dalam kumpulan sembang seperti ini, yang ada beratus orang menganggotainya, ia lebih kurang macam kluster Covid-19. Ia tersebar luas dan merebak.”

Katanya, beliau ada berunding dengan polis dan memperjuangkan hukuman yang lebih keras dan segera. FMT

Polis siasat kumpulan sembang Telegram kongsi gambar lucah wanita



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker