Jamal rancang buka semula restoran makanan percuma

Share

SEKINCHAN – Pengasas Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) 1Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos merancang membuka semula restoran makanan percuma di Kuala Lumpur pada tahun depan.

Jamal berkata, restoran yang menyediakan makanan percuma kepada pelanggan sebelum ini pernah dibuka di Jalan Pahang dan diikuti cawangan di Sekinchan.

“Saya bersama rakan NGO sedang mencari tapak sesuai dengan harga sewa di bawah RM5,000 sebulan.

“Kita cuba mendapatkan rumah kedai tetapi berjauhan daripada peniaga yang menjual makanan tengah hari supaya niat baik kami ini tidak menjejaskan peniaga lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas sesi bersama media pada Majlis Ulasan Sempena Pembukaan Restoran Ikan Bakar di Sekin Fisherman Villages Hotel and Resort di sini hari ini.

Jamal (kiri) berbual bersama tetamu yang hadir pada Majlis Ulasan Sempena Pembukaan Restoran Ikan Bakar di Sekin Fisherman Villages Hotel and Resort di sini hari ini.

Jamal yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar berkata, restoran makanan segera itu diharap meringankan beban golongan berpendapatan rendah untuk membeli makanan tengah hari.

“Biasanya setiap individu terpaksa menyediakan sebanyak RM10 sehari untuk membeli makanan tengah hari dan jika restoran ini dibuka lima hari seminggu, mereka dapat menjimatkan wang sebanyak RM500 sebulan,” katanya.

Katanya, restoran itu sebelum ini berjaya menarik kira-kira 5,000 pelanggan dalam sesuatu masa dari seluruh negara.

Menurut Jamal, beliau yakin konsep makanan percuma yang bakal dilaksanakan itu nanti mendapat sokongan daripada rakan NGO lain.

“Konsep ini sangat disukai kerana rakyat negara ini pemurah.

“Restoran ini menerima sumbangan pelbagai pihak seperti sayur, beras dan ikan selain bantuan secara sukarela bagi membantu memasak,” katanya.

Malah, katanya, beliau turut bersedia menjadi perunding percuma kepada mana-mana pihak yang ingin menggunakan konsep sama yang ingin dibuka di seluruh negara ini.

“Saya berharap jangan hanya menunggu saya membuka restoran makanan percuma, sebaliknya ada usaha pihak lain membantu bagi meringankan bebas kos sara hidup yang semakin tinggi,” katanya.

Leave a Reply