Presiden Nadi Rakyat buat laporan polis

 

Kuala Lumpur: Satu laporan polis dibuat Presiden Nadi Rakyat berhubung satu status di Facebook ‘Saya Sayang Tun Dr Mahathir Mohamad’ yang mengaitkan dirinya menerima RM18,000 sebulan daripada isteri bekas Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Mohamad Rafi Awang Kecik, 56 berkata, dia menyedari status berkenaan ketika berada di rumahnya di Setapak, di sini, hari ini.



Menurutnya, nama beliau tersenarai sebagai Rosmah Birkin Army dan kononnya disebut sebagai bekas pegawai khas Rosmah dalam perbicaraan kes di mahkamah baru-baru ini.

Mohamad Rafi berkata, ia adalah satu fitnah yang direka untuk memburukkan namanya selaku aktivis badan bukan kerajaan.

“Saya tidak pernah menerima bayaran seperti didakwa. Saya buat laporan polis ini kerana ia satu tuduhan yang menjejaskan nama baik saya, ahli Nadi Rakyat seluruh Malaysia serta keluarga saya.

“Saya juga ingin membersihkan nama saya dan meminta Suruhanjaya komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat dan mengambil tindakan selanjutnya,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Bekas Pegawai Khas Rosmah, Datuk Rizal Mansor, Khamis lalu memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, Blogger Papagomo, Parpukari dan The Unspinners dibayar RM5,000 sebulan, bagi memantau kandungan media sosial dan menangkis fitnah serta tohmahan dilemparkan kepada Rosmah.



Selepas itu, tular di media sosial satu hantaran Facebook mengaitkan beberapa nama termasuk Mohamad Rafi yang dikatakan hidup mewah dengan menjadi laskar siber kepada isteri bekas Perdana Menteri itu.= HM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker