Arwah Sharifah Fariesha bakal bernikah Oktober tahun depan, sempat tinggalkan pesanan untuk tunang

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=X1lcVrNSXGg[/embedyt]

Sungai Petani: “Kalau ikut perancangan, arwah Sharifah Fariesha Syed Fathi, bakal melangsungkan pernikahan dengan tunangnya Oktober tahun depan tapi semuanya Allah SWT sudah atur, dia pergi buat selamanya,” kata Hasnida Hassan, 47.

Menurutnya, anak tunggalnya yang berusia 21 tahun itu seorang anak yang baik dan menghormati orang tua malah tidak pernah sesuka hati keluar tanpa pengetahuan dia dan suami.

“Saya reda apabila ditakdirkan anak saya meninggal dunia disebabkan kejadian itu walaupun dia satu-satunya anak yang saya ada tetapi Allah SWT sudah ambil semula,” katanya ditemui di rumahnya di Zon Seroja di sini, hari ini.

Hasnida berkata, Sharifah Fariesha bertunang dengan lelaki pilihannya pada Ogos lalu dan dia pernah menyatakan impiannya untuk melangsungkan perkahwinan dengan tema yang sangat cantik.



Katanya, arwah memang sukakan kecantikan malah gemar bersolek dan bersiap untuk sentiasa kelihatan cantik.

“Ketika saya menatap wajahnya kali terakhir ketika hendak dikafankan semalam (kelmarin), wajahnya sangat berseri dan bersih.

“Dia memang seorang anak yang manja malah hubungan saya dengan dia bukan saja sebagai seorang ibu dan anak, malah dia jadikan saya sebagai kawan serta tempat dia mengadu masalah,” katanya yang bekerja sebagai pembantu makmal di sebuah sekolah di sini.

Menurut Hasnida, dia dan suaminya, Syed Fathi Syed Zain, 60, cuba menghubungi telefon bimbit anak mereka beberapa kali sejak jam 9 malam kelmarin namun tidak dijawab.



Katanya, dia yang risau berlaku kejadian tidak diingini kemudian menghubungi telefon bimbit tiga rakan arwah dalam kereta pelbagai guna (MPV) itu namun tidak juga dijawab.

“Saya rasa tak sedap hati apabila anak saya tidak membalas aplikasi WhatsApp yang dihantar jam 11 malam.

“Arwah jarang tidak membalas setiap WhatsApp yang dikirim. Saya kemudiannya minta tunang arwah yang bekerja di Sarawak untuk membantu menghubunginya,” katanya.

Hasnida berkata, tunangnya berjaya menghubungi telefon bimbit arwah dan dimaklumkan mereka ditemui dalam keadaan ‘tertidur’ dalam MPV di stesen minyak di Pulau Pinang dengan enjin dan pendingin udara yang masih terpasang.



“Masa tu dah jam 1 pagi dan saya terus ke Hospital Seberang Jaya di Pulau Pinang sebelum dimaklumkan yang anak saya sudah meninggal dunia, seluruh badan saya seolah-olah lumpuh kerana kehilangannya,” katanya.

Hasnida berkata, hubungan Sharifah Fariesha dan tiga rakannya, termasuk pasangan kembar itu, sangat rapat malah mereka belajar sama dalam kursus farmasi di Kuala Lumpur.

Katanya, Sharifah Fariesha pula baru empat bulan bekerja di sebuah klinik swasta di Taman Keladi di sini.

 



HASNIDA menunjukkan gambar pertunangan anaknya, Sharifah Fariesha yang diadakan pada Ogos lalu. FOTO Zuliaty Zulkiffli
HASNIDA menunjukkan gambar pertunangan anaknya, Sharifah Fariesha yang diadakan pada Ogos lalu. FOTO Zuliaty Zulkiffli

 

“Saya dimaklumkan oleh tunangnya, arwah sempat berpesan kepadanya supaya jaga diri baik-baik kalau dia tiada nanti.

“Sharifah Fariesha sempat meminta izin daripada tunangnya sehari sebelum kejadian untuk ke Pulau Jerejak bersama tiga rakan baiknya itu,” katanya.

Hasnida berkata, Sharifah Fariesha juga mencium tangannya sebelum keluar dari rumah kelmarin sambil memberitahu sudah berjanji untuk melancong bersama tiga rakannya di Pulau Pinang sempena cuti umum 16 September.



Tak sempat langsungkan majlis pernikahan

Katanya, dia mendapati ada perubahan pada Sharifah Fariesha yang mana dia kurang bercakap sejak tiga hari lalu sedangkan sebelum ini dia memang ceria.

“Tarikh 20 Oktober ini ialah hari kelahirannya yang ke 21, saya cukup sedih kehilangan anak tersayang namun sebagai ibu, saya reda dengan ketentuan Ilahi.

“Saya minta semua tolong doakan roh anak saya dicucuri rahmat,” katanya.



Jenazah Sharifah Fariesha selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Laguna, Merbok di sini, petang semalam.

Pada kejadian jam 1 pagi semalam, empat sahabat karib, Sharifah Fariesha Syed Fathi, Ayuni Shazwanie Shabri, Nor Adilah Mohd Safwan dan kembarnya, Nor Aqilah, semuanya berusia 21 tahun, berhenti rehat di sebuah stesen minyak di Samagagah di Lebuhraya PLUS arah utara sebelum meneruskan perjalanan pulang ke rumah masing-masing dekat Sungai Petani dan Gurun, Kedah.

Mereka bagaimanapun ditemui tidak sedarkan diri dalam MPV berkenaan sebelum kesemuanya dibawa ke hospital untuk rawatan.

Hanya Nor Adilah yang selamat dan kini dirawat sedangkan tiga lagi meninggal dunia.-HM

 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker