Warisan Bergolak… Naib Ketua Warisan Bahagian Libaran Bersama Penyokong Sertai BN

Share

Naib Ketua Parti Warisan Sabah (Warisan) Bahagian Libaran Mohamed Mirodin @ Janggut mengumumkan keluar parti untuk menyertai Barisan Nasional (BN).

Janggut adalah salah seorang penaja kepada Warisan bahagian tersebut dan penaja di Zon Dandulit telah keluar bersama 200 ahli dari empat cawangan iaitu Kampung Banting, Sungai Beruang, Dandulit dan Kuala Gum-Gum.

Beliau bersama isterinya umum keluar parti pada program calon BN di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Dandulit yang dihadiri oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah Datuk Seri Jamil Khir Baharom, calon BN bagi DUN Gum-Gum Suhaimi Haji Nasir dan Mokran Ingkat (DUN Sungai Manila).


Beliau menceritakan perjalanan politiknya di mana terlibat selama sembilan tahun bersama Parti Keadilan Rakyat.

Di Warisan, beliau memaklumkan bahawa tanggungjawab menjalankan kerja-kerja di bahagian terletak di bahunya selama ini ekoran Timbalan Ketua Bahagian telah meninggal dunia manakala Ketua Bahagian pula sering menghadapi masalah kesihatan.

Jelas Janggut lagi, tindakannya keluar parti ekoran pucuk pimpinan Warisan tidak menghormati keputusan bahagian dan hilang kepercayaan kepada pucuk pimpinan.


“Kesetiaan saya pada parti Warisan, saya adalah orang yang setia di mana bermula dari menjadi penaja, membentuk kerajaan dan sehinggalah bubar Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya yang juga pernah menjadi pencadang kepada penyandang ADUN Gum-Gum, Arunarnsin Taib semasa pilihan raya yang lalu.

“Selepas dia (Arunarnsin) menang, dia tidak tengok kita… itu saya masih tahan lagi. Tetapi mengapa saya terpanggil menyertai UMNO? Sebab saya adalah orang terdekat dengan Presiden Warisan, (tapi) keputusan bahagian tidak diambil kira oleh pucuk pimpinan.

“Keputusan meletak calon tidak dibincang, apa guna bahagian-bahagian ini? Saya telah hadir dalam mesyuarat bersama presiden dan minta sendiri agar menghormati keputusan bahagian tentang soal calon dan hormati bahagian,” tegasnya.


Beliau berkata bakal ada lagi pemimpin serta ahli-ahli Warisan akan menyusul keluar sertai BN.

Janggut memberi kepercayaan kepada calon BN DUN Gum-Gum, Suhaimi Nasir yang juga selaku Ketua UMNO Bahagian Libaran untuk menjadi wakil rakyat di kawasan itu dan begitu juga kepada calon BN DUN Sungai Manila, Mokran Ingkat.

“Saya kenali dua pemimpin ini telah lama dan merupakan rakan saya. Saudara Suhaimi merupakan orang yang banyak membantu saya ketika saya berada dalam BN satu ketika dahulu,” katanya.

Beliau memberi komitmen akan membantu BN dalam siri kempen kali ini bagi memastikan kedua-dua calon BN menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ini. – UMNO ONLINE

Leave a Reply