Restoran hidang daging eksotik tanpa permit diserbu

JOHOR BAHRU, 16 Sept — Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyerbu sebuah restoran yang menghidang dan menjual daging haiwan eksotik tanpa permit, di Jalan Tanjung Masai di sini, semalam.

Pengarah Perhilitan Johor, Salman Saaban berkata serbuan pada 1 tengah hari itu dijalankan dengan kerjasama pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam dan Pasukan Gerakan Am Batalion 3.

“Dalam serbuan itu, sebanyak tujuh plastik disyaki daging biawak air dan dua bekas plastik dipercayai daging babi hutan yang disimpan dalam sebuah peti sejuk beku berjaya ditemukan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.



Salman berkata, daging haiwan berkenaan dipercayai untuk dijual kepada pelanggan restoran terbabit untuk menikmati daging haiwan eksotik berkenaan.

Katanya, siasatan lanjut mendapati pemilik premis berkenaan, seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun tidak mempunyai sebarang dokumen atau lesen sah dari Perhilitan untuk menyimpan daging haiwan berkenaan.

Seorang pekerja restoran berkenaan yang merupakan lelaki warga India juga didapati memiliki dokumen perjalanan yang tamat tempoh.

“Siasatan terperinci sedang dilakukan untuk mengetahui sejak bila kedai berkenaan telah menghidangkan menu eksotik itu dan dari mana bekalan diperoleh,” katanya.

Kedua-dua suspek kini ditahan di IPD Seri Alam mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (716) kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen sah memiliki bahagian hidupan liar.



— BERNAMA

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker