Tiga daerah di Sabah jalani saringan COVID-19 secara besar-besaran

Share

Kementerian Kesihatan (KKM) akan menjalankan ujian saringan COVID-19 secara besar-besaran bagi penduduk daerah Lahad Datu, Tawau dan Kunak dalam tempoh terdekat.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata saringan secara besar-besaran itu dijangka melibatkan antara 15,000 dan 20,000 individu di kawasan itu.

“Kami (KKM) telah bersedia untuk menjalankan saringan besar-besaran di kawasan berkenaan dan telah mengenal pasti kampung yang akan menjalani ujian saringan berdasarkan lokaliti,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan COVID-19 di KKM di sini hari ini.



Dr Noor Hisham berkata jika ada lokaliti yang mempunyai kes positif tinggi, KKM akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan seperti pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Beliau berkata kapasiti untuk melakukan saringan itu adalah 2,500 ujian sehari.
Dengan kemampuan ujian dan intervensi kesihatan awam, kementerian akan berusaha membendung wabak di daerah yang dijangkiti. Oleh itu beberapa hari akan datang adalah penting bagi proses pembendungan, kata Dr Noor Hisham.

Beliau berkata KKM telah mengenal pasti tiga premis untuk dijadikan pusat kuarantin berisiko rendah di Sabah iaitu Dewan Arena Belia Tawau, Kompleks Penjara Tawau dan Ibu Pejabat Daerah Lahad Datu.


Kata Dr Noor Hisham, pusat kuarantin berisiko rendah tersebut akan digunakan apabila jumlah pesakit melebihi kapasiti di hospital dan ia akan menempatkan pesakit positif COVID-19 yang tidak bergejala atau bergejala ringan.

Dalam perkembangan lain beliau turut mengesahkan bahawa virus yang menjangkiti kluster Tawar adalah jenis yang sama dengan kluster PUI Sivagangga iaitu mutasi jenis D614G.

Bagaimanapun sehingga kini hubung kait kedua-dua kluster masih tidak dapat dikenal pasti.


“KKM pun telah tamatkan pemantauan 28 hari bagi kluster PUI Sivagangga, tetapi kluster Tawar masih dipantau dengan rapi. Apa yang pasti virus yang menjangkiti kluster itu adalah virus yang sama dengan kluster Sivagangga.

“Untuk kluster Sungai, Kementerian Kesihatan masih jalankan isolasi dan kenal pasti virus tersebut dan ini mungkin memakan masa tetapi kita mengesyaki kluster Sungai juga besar kemungkinan melibatkan virus yang sama (dengan kluster Sivagangga),” kata Dr Noor Hisham. BERNAMA

Leave a Reply