Status quo dan pakatan politik

Share

DALAM politik, pakatan dan gabungan selalunya dibentuk berdasarkan prinsip ‘keberuntungan bersama’ (mutual benefit).

Lazimnya jangka hayat sesebuah pakatan politik bergantung kepada selama mana keberuntungan itu terus dinikmati tanpa menjejaskan identiti, autonomi dan status quo parti-parti yang bergabung dalam pakatan itu.

Malangnya, persaingan yang berlaku selalunya akan menajamkan sentimen kekelompokan. Kalau ini berlaku, maka ia akan merugikan semua pihak. Justeru, tiada sesiapa pun akan beroleh manfaat daripadanya.


Persoalannya, bagaimana autonomi dan status quo itu boleh dipertahankan? Hal ini diperincikan oleh Arend Lijphart (1975) dan David Apter (1977) menerusi konsep konsensus berdasarkan akomodasi dan rundingan (bargaining) pada peringkat elit politik.

Kalau diperhatikan, inilah yang sedang berlaku dalam konteks politik semasa, terutamanya dengan Perikatan Nasional (PN). Cumanya, ia berlaku di lapangan yang sangat kontra.

Di mana yang dikatakan kontra itu? Mungkin dua perkembangan ini boleh menjadi contoh untuk menerangkan perkara tersebut.


Satu, reaksi UMNO terhadap kemasukan kem Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ke dalam Bersatu serta penubuhan sayap baharu untuk orang bukan Melayu dalam parti itu dan kedua, lawatan sulung Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ketika berkunjung ke Sabah pada Ogos lalu.

Kedua-dua perkembangan ini memperlihatkan bagaimana PN sebagai sebuah pakatan cuba sedaya upaya untuk mengekalkan status quo masing-masing tanpa menjejaskan keberuntungan bersama yang ketika ini dinikmati sebagai pakatan pemerintah.

Gesaan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah supaya semua ahli Kabinet UMNO meninggalkan kerajaan PN dapat dibaca sebagai usaha untuk mengekalkan status quo UMNO sebagai parti terbesar dalam PN.


Bagi Bersatu, pembukaan itu akan kembali memberikan kelebihan buat parti itu untuk kembali menguatkan kuasa rundingan sekali gus mengekalkan status quo mereka sebagai tunjang kerajaan yang memerintah.

Sudah tentu tindakan itu akan kembali melebarkan jumlah kerusinya yang berpeluang untuk bertanding di kawasan-kawasan campuran yang tidak mungkin ditembusi oleh UMNO-Pas.

Walaupun rakan UMNO dalam Barisan Nasional (BN), MIC bertindak keluar PN (mungkin MIC melihat ini sebagai ancaman kepada status quonya), UMNO merestui tindakan itu seolah-olah sedar akan ketidakmampuan komponen bukan Melayu dalam BN menarik undi orang bukan Melayu lantas melihat Bersatu sebagai penyelesaian kepada kekurangan itu.

Konsensus

Ironinya, lawatan Muhyiddin ke Sabah pula cuba untuk membentuk konsensus yang berbentuk akomodasi buat PN. Beliau terpaksa turun sendiri ke Sabah bagi menyelesaikan permasalahan pakatan itu dalam menghadapi PRN Sabah bulan ini.

PN dilihat masih belum menjadi satu pakatan yang benar-benar bersedia mencabar parti Warisan di Sabah. Sebab itu, isu calon Ketua Menteri dan formula pembahagian kerusi tidak ditekankan dalam perjumpaan mereka. Tujuannya adalah untuk memastikan status quo dapat dikekalkan.

Seruan bahawa Sabah akan lebih maju jika selari bersama dengan kerajaan di Persekutuan menjadi pancingan kepada permuafakatan dan akomodasi pakatan PN Sabah.

Sebab itu juga barangkali Parti Maju Sabah (SAPP) menyertai PN, kerana melihat tindakan itu mampu membawa keberuntungan buat mereka sekaligus meluaskan lagi peluang PN untuk memenangi PRN.

Kesemua itu lantas mengingatkan saya kepada dialog dalam filem blokbuster National Treasure tahun 2004 lakonan Nicholas Cage sebagai Benjamin Gates dan Jon Voight sebagai ayahnya bernama Patrick Gates.

Dalam filem itu, watak Patrick Gates menyatakan kepada anaknya Benjamin ketika ditangkap oleh penjahat yang bunyinya lebih kurang beginilah, “Kerjasama hanya akan berjalan selagi mana status quo tidak berubah.

Sebaik sahaja ia berakhir, maka kita tidak akan diperlukan lagi. Oleh itu, kita harus mencari jalan supaya status quo itu berubah atau sentiasa memihak kepada kita.”

Nampaknya benar sungguh ungkapan dialog tersebut. Kena elok dengan apa yang berlaku dengan politik PN sekarang.

*Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara

Leave a Reply