Lelaki Bangladesh dalam dokumentari Al Jazeera mahu belajar undang-undang, perjuang hak migran

Md Rayhan Kabir, warga Bangladesh yang diusir dari Malaysia selepas muncul dalam sebuah dokumentari Al Jazeera, mahu mempelajari undang-undang penghijrahan dan memperjuangkan hak pekerja asing.

Lelaki berusia 25 tahun itu yang kini berada di kampung halamannya, berkata kehidupannya berubah secara drastik sejak sebulan lalu, tetapi beliau menganggapnya sebagai permulaan baru.

“Saya memiliki semuanya…tempat tinggal yang baik, sebuah kereta, pekerjaan baik dan kestabilan kewangan. Tetapi, semuanya berakhir selepas saya muncul dalam dokumentari itu,” katanya kepada Dhaka Tribune.

“Saya tidak melakukan jenayah. Apa yang saya mahu ialah membuatkan suara mereka (pekerja asing) didengari dan memberitahu dunia apa yang mereka lalui itu tidak berperikemanusiaan. Mereka (pihak berkuasa Malaysia) tidak boleh mengongkong mereka yang tidak mempunyai dokumen sah.”



Rayhan ditahan pada 24 Julai lalu susulan operasi mengesannya selama 2 minggu, selepas Jabatan Imigresen mengeluarkan notis dikehendaki terhadapnya.

Beliau muncul dalam dokumentari Al Jazeera bertajuk “Locked Up in Malaysia’s Lockdown” yang disiarkan 3 Julai lalu, mendakwa pihak berkuasa memberi layanan buruk kepada pekerja asing semasa pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bagi membendung penularan Covid-19.

Rahyan, yang tiba di Bangladesh pada 22 Ogos lalu, tidak mahu hidup di masa lalu dan memikirkan beliau kehilangan apa, sebaliknya beliau memutuskan untuk melanjutkan pelajaran mengenai undang-undang penghijrahan dan memperjuangkan hak pekerja migran.



Rayhan turut memberitahu Dhaka Tribune, beliau tidak dihubungi sesiapa pun dari Al Jazeera selepas penahanannya.

Katanya, saluran berita berpangkalan di Qatar itu pernah bertanya jika beliau tidak mahu mendedahkan namanya dan menutup mukanya dalam dokumentari itu, bagaimanapun beliau tidak mahu berbuat demikian kerana tidak pernah terlintas tindakannya itu melanggar sebarang undang-undang.

“Bersuara untuk komuniti tidak asing bagi saya kerana saya sudah melakukannya berkali-kali sebelum muncul dalam dokumentari itu. Saya tidak pernah terfikir memberitahu kebenaran akan menyebabkan saya menghadapi banyak masalah.”

Ditanya mengenai layanan dalam penjara, katanya, beliau tidak mahu bercakap mengenainya kerana bimbang apa yang dikatakannya mungkin membahayakan pekerja Bangladesh di Malaysia.



“Saya tidak mahu bercakap mengenainya demi kebaikan orang lain. Saya tidak mahu membahayakan ramai pekerja migran yang masih bekerja di Malaysia.”

Susulan penyiaran dokumentari selama 25 minit itu, pihak berkuasa turut menyiasat Al Jazeera di bawah Akta Hasutan 1948, Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana menyiarkan berita fitnah serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyalahgunakan rangkaian perkhidmatan secara tidak wajar. FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker