Jason Lo, rakan didakwa pecah amanah lebih RM200,000

Share

Jason Lo dan rakannya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan pecah amanah wang syarikat rakaman lebih RM200,000 tahun lalu.

Lo, 45, dan Muhammad Yakub Hussaini, 47, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di depan Hakim Sabariah Othman.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua pengarah Fat Boys Records Sdn Bhd yang diamanahkan wang berjumlah RM232,500 didakwa melakukan pecah amanah dengan menggunakan wang syarikat untuk kegunaan sendiri.


Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di syarikat berkenaan di Mont Kiara pada 24 April dan 14 Mei 2019 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Noorhani Muhmmed Ayub menawarkan jaminan RM30,000 kepada setiap tertuduh.

Peguam Alfred Chong yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jaminan dikurangkan kepada RM5,000 dan anak guamnya akan mematuhi semua syarat ditetapkan mahkamah.


Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM30,000 setiap seorang dan menetapkan 2 Okt ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

November tahun lalu, Lo turut dituduh di Mahkamah Majistret di sini atas dakwaan menceroboh sebuah rumah dan memasukkan dadah jenis methamphetamine ke dalam badannya.

Dia mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu. FMT


Leave a Reply