Persatuan pengguna saman penyebar kluster Sivagangga RM1.5 juta

Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) menfailkan saman sivil RM1.5 juta terhadap seorang warganegara India yang dikatakan punca kluster Covid-19 Sivagangga, di Mahkamah Tinggi hari ini.

CAKE turut memohon injuksi interim bagi menghalang pemilik restoran nasi kandar Nezar Mohamed Shabur Batcha daripada keluar mukim Napoh di Kubang Pasu, Kedah atau keluar negara sehingga kes selesai.

Peguam CAKE, Mohammad Zunun Baihakky berkata, penuntut terdiri daripada pemilik perniagaan, pekerja, dan penerima upah dari mukim Napoh dan Megat Dewa yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Peningkatan Sasaran (Temco) yang dikuatkuasakan selepas Nezar ingkar arahan kuarantin wajib 14 hari sekembalinya dari India.

Penuntut lain termasuklah Jawatankuasa Peniaga RTC Pekan Napoh, Kelab Usahawan Belia Napoh, Persatuan Peniaga Kecil dan Penjaja Napoh, serta 2 persatuan penduduk di Napoh.



Zunun berkata CAKE menuntut ganti rugi am, teladan, teruk, dan nominal bagi lebih kurang 200 individu dan 5 badan bukan kerajaan (NGO).

“Tuntutan saman berdasarkan prinsip kejiranan sebagaimana merujuk kes Donoghue lawan Stevenson di United Kingdom (UK) pada 1931 atau lebih dikenali sebagai kes ‘siput dalam botol’. Asasnya, individu disaman mempunyai tanggungjawab menjaga pelanggannya,”katanya kepada FMT.

Berdasarkan kenyataan Kementerian Kesihatan, kluster Sivagangga bermula di Napoh selepas seorang lelaki India pemastautin tetap ingkar terhadap arahan kuarantin wajib sekembalinya dari lawatan ke Sivagangga, sebuah pekan di Tamil Nadu.

Empat mukim di Kubang Pasu diletakkan bawah arahan Temco, dan restoran terbabit ditutup sehingga hujung bulan.



Minggu lalu, lelaki berkenaan dihukum 5 bulan penjara dan denda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret atas kesalahan ingkar arahan kuarantin kendiri pada 14 Julai.

Sejak semalam, sejumlah 148 kes Covid dilaporkan di Kedah, separuh daripadanya dikaitkan dengan kluster Sivagangga.

Virus itu dilaporkan merebak ke Pulau Pinang dan Perlis masing-masing dengan 126 dan 30 kes setakat ini. FMT



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker