UMNO PERLU BUKA MATA

1. Mutakhir ini kita dihadapkan dengan polemik yang mencetus dilemma atas ura-ura kemasukan PPBM ke dalam Muafakat Nasional (MN). Sehingga kini pengumuman telah dibuat oleh Presiden PPBM akan hasrat itu dan mereka menunggu untuk *dijemput* dan bukannya *memohon* untuk menyertai MN.

2. Selain itu disebut dan digambarkan juga oleh beliau bahawa dengan menyertai MN itu secara langsung akan membawanya ke *Grand Coalition* Perikatan Nasional yang didakwa menjadi tapak pembentukan kerajaan semasa.

3. Ironinya, Majlis Tertinggi BN telah membuat keputusan untuk tidak menyertai PN, yang secara langsung bermakna MP BN yang menyertai kerajaan adalah atas kapasiti individu, dan bagi tempoh sehingga tarikh PRU15 diadakan.

4. Naratif PPBM nenyertai MN dan seterusnya mendokong PN lalu membentuk Grand Coalition itu sesungguhnya adalah sesuatu yang tidak benar dan amat mengelirukan. Harus diingat bahawa BN bukanlah sebuah parti yang boleh dihalakan tujuannya oleh pihak luar. Jangan sesekali memikirkan bahawa kekalahan BN dan keberadaannya selepas PRU14 yang dianggap kelemasan dan terus-terusan sedemikian.



5. Kegelojohan kerajaan PH dan prestasi mereka yang sangat lemah telah memberi *rahmat tersembunyi* (blessing in disguise) kepada kebangkitan semula UMNO/BN. Keputusan lima PRN yang diadakan menjadi bukti angin perubahan untuk kembali menyokong BN telah mula bertiup kuat, apatah lagi dengan wujudnya gerakan ajaib Muafakat Nasional yang telah menyatukan watan dan umat Islam.

6. Jika sekiranya BN perlu melakukan perubahan dikala ini, perkara yang paling utama adalah untuk mengembalikan semula keyakinan diri untuk menjadi pemimpin utama negara sebagaimana
dilakukan sejak lebih 60 tahun lalu.

7. Semua pemimpin UMNO perlu dengan tegas berpegang kepada hakikat bahawa BN adalah parti terbesar dalam negara dalam segala aspek; keahlian, bilangan ahli parlimen dan sejarah yang panjang.

8. Adalah sesuatu yang sangat tidak masuk akal dan janggal sekiranya UMNO/BN dibangkitkan semula hanya untuk menjadi pengikut kepada parti yang sangat kerdil. Dalam konteks kemasukan PPBM kedalam MN, UMNO perlu tegas untuk tidak merelakan parti itu dijadikan tunggangan atas nama kononnya membentuk perikatan watan dan agama Islam.



9. Parti UMNO bukanlah seperti parti kiambang lain yang tidak berakar umbi. Seluruh lebih 3.5 juta akar umbi UMNO akan merasa sangat terhina sekiranya pemimpin UMNO membiarkan parti ini hanya menjadi pengikut dan dijinakkan dengan tawaran jawatan.

10. Tidak boleh tidak, UMNO melalui MN perlu membuka mata dan sedar dari sindrom *kalah perang* dan tegas mempertahankan hak untuk kembali semula memimpin negara dan membawa semula negara kearah pembangunan sebagaimana yang telah dilakarkan sebelum ini.

*Selamat Berjuang*

Kumpulan Ilmuwan Negara.
18 Ogos 2020.



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker