‘Speaker mana boleh rampas Dewan Rakyat’, kata pembangkang

Speaker tangguh sidang Parlimen 10 minit sebelum kerajaan menang undi lulus RUU tambah peruntukan

Sidang Dewan Rakyat hari ini ditangguh 10 minit semasa undi belah usul Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2020 berjalan.

Speaker Azhar Azizan Harun keluar Dewan Rakyat seketika, justeru menimbulkan rasa tidak puas hati wakil pembangkang.

“Speaker mana boleh ‘rampas’ Dewan Rakyat,” kata beberapa ahli Parlimen pembangkang.



Selepas 10 minit, Azhar masuk dan RUU tersebut diluluskan dalam bacaan kali ke-2 dengan kelebihan 5 undi.

Semasa undi belah bagi, pihak yang bersetuju adalah seramai 111 ahli Parlimen, manakala yang tidak bersetuju 106.

“Ahli Parlimen yang tidak hadir seramai 5 orang,” kata Azhar.

Pagi tadi blok Bebas diketuai bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menolak usul RUU tersebut.



Beliau berkata, keputusan itu dibuat susulan tindakan kerajaan menambah bilangan menteri dan timbalan menteri, termasuk melantik individu sebagai duta khas bertaraf menteri yang dianggap sebagai pembaziran ketika negara berdepan kemelesetan ekonomi akibat Covid-19.

Mahathir berkata, blok Bebas mendapati pihak kerajaan menambah bilangan anggota Kabinet dengan tidak mengambil kira kemampuan kerajaan.

Terdahulu Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah ketika menggulung RUU berkenaan berkata, ia dibentangkan bagi memantapkan sistem penyampaian kerajaan selain memastikan pertindihan fungsi antara kementerian dapat diminimumkan.

ADVERTISING



Katanya, kewujudan kementerian baru seperti Kementerian Perpaduan Negara, Kementerian Alam Sekitar dan Air serta pengwujudan semula Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) adalah bertujuan memperkemaskan jentera perkhidmatan kerajaan.

“Kementerian Perpaduan Negara sebenarnya bukan kementerian baru. Ia pernah diwujudkan pada 1972 dan pada 1980 ia sudah distrukturkan sebagai Jabatan Perpaduan dan Rukun Tetangga dan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

“Kementerian Alam Sekitar dan Air pula berperanan dalam meneraju pengurusan air secara mampan dan kelestarian alam sekitar serta memulihara alam sekitar.

“Begitu juga KPT dan Kementerian Pendidikan (KPM) sudah beberapa kali digabung dan dipisahkan.



“Kerajaan berpandangan KPT dan KPM perlu menjadi entiti berasingan dalam memperkasa pendidikan negara,” katanya sambil menambah ini bagi membolehkan dasar digubal lebih fokus dan terancang serta memudahkan aspek pemantauan untuk kumpulan sasar.

Permohonan peruntukan itu adalah berikutan penyusunan semula beberapa kementerian, penubuhan beberapa kementerian baru dan pembubaran satu kementerian selaras dengan pembentukan Kabinet baru pada 10 Mac 2020.

Perbelanjaan tambahan itu dimohon untuk Jabatan Perdana Menteri iaitu sebanyak RM310,621,700, Perbendaharaan (RM17,253,000) dan Perkhidmatan Am Perbendaharaan (RM2,405,900).

Peruntukan itu juga adalah bagi Kementerian Perpaduan Negara (RM240,452,000), Kementerian Luar Bandar (RM189,165,000), Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (RM102,603,900) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (RM10,000,000).



Selain itu, ia turut membabitkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (RM12, 410,600), Kementerian Alam Sekitar dan Air (RM305, 993,000), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (RM70, 366,000) dan Kementerian Pengajian Tinggi (RM5, 922,811,700).

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker