Percepatkan PRU-15 – Hadi

BAI’AH TALAK TIGA

 

UTUSAN: Pas dilihat berbeza dengan parti lain. Kita jarang sangat dengar berita wakil rakyat Pas melompat parti. Apa formula Pas dalam memperkasakan hal ini?

ABDUL HADI AWANG: Formula kita adalah formula tarbiah, mendidik ahli. Kita ambil pendekatan bahawa politik sebahagian daripada agama. Dan agama tidak boleh dipisahkan daripada politik. Jadi bila ada hal sebegini, kita ikatkan melalui bai’ah, janji setia kepada perjuangan. Ini sangat penting. Janji setia inilah yang membentuk wakil rakyat kita yang setia kepada perjuangan.

Bercakap tentang bai’ah, pada 2018, Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mahfouz Mohamad ada bercakap pasal sumpah bai’ah talak tiga. Adakah ia masih perlu dilafazkan oleh calon-calon Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Adakah bai’ah talak tiga ini masih relevan?
Tidak. Itu bukan asas bai’ah. Kalau kita baca dalam sejarah Islam, ada benda-benda yang bukan talak tiga sebaliknya kalau dilanggar, kena pergi haji jalan kaki selama 30 tahun.



Berbalik kepada isu sumpah bai’ah talak tiga, itu hanya perkara sampingan yang menjadi asas kepada bai’ah itu sendiri. Bai’ah itu ialah kesetiaan kepada dasar dan matlamat perjuangan, itu yang penting.

 

Jadi, bagaimana bai’ah talak tiga boleh timbul?

Itu khusus bagi negeri Kelantan. Bai’ah talak tiga ini muncul pada suatu ketika (dalam pilihan raya umum) apabila Kelantan tinggal satu kerusi – majoriti mudah yang sangat kecil – Allahyarham Tok Guru Nik Aziz sangat bimbang kalau wakil-wakil rakyat ini melompat. Itu ceritanya, hanya khusus di Kelantan. Jadi, itu bukan satu dasar bersifat menyeluruh, untuk kes yang tertentu sahaja.



Maknanya, dalam menghadapi PRU-15 nanti, Pas tidak akan guna pakai bai’ah talak tiga?
Tidak, kita hanya berpegang kepada dasar utama iaitu kesetiaan melalui bai’ah.

 

LOMPAT PARTI

Apa komen Tuan Guru berkenaan hal wakil rakyat parti-parti tertentu yang melompat parti ini?



Itu masalah jati diri. Pada masa sama, masalah konsisten parti itu sendiri dengan dasar. Kalau parti itu mengubah dasar (yang menolak Islam), tak boleh ikut parti itu.

 

Maksudnya, kalau parti itu mengubah dasar, maka pemimpinnya boleh meninggalkan parti?

Ya.



 

Tapi, lompat parti dilihat tidak adil kepada lebih 13 juta pengundi yang mengundi berdasarkan wakil rakyat mereka. Komen Tuan Guru?

Ya, sepatutnya bila ada isu lompat parti sebegitu, kita buat semula pilihan raya yang mana rakyat berhak memilih semula pemimpin. Kecuali parti itu pula yang lompat, itu lain cerita.

 



Tapi sehingga kini, kenapa tiada undang-undang untuk mencegah fenomena lompat parti? Ada yang berkata ia tidak boleh dilakukan, benarkah?

Kita mesti fleksibel, bukan sahaja lompat parti, malah termasuk juga kes parti yang lompat. Sebab itu kita harus pegang kepada dasar yang ditunjukkan oleh Islam. Selagi patuh kepada akidah perjuangan, sama ada orang atau parti itu sendiri, selama itulah kesetiaan akan berlaku.

 

Adakah Pas akan kekalkan kerusi tradisi khususnya di Kelantan, Terengganu dan Kedah? Atau mungkin ada perjanjian bahawa Pas akan bertumpu kepada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu) untuk kerusi Parlimen?



Itu negeri-negeri yang kita kuasai sekarang termasuk Kelantan, Terengganu dan Kedah. Pada masa sama, Pas ada 190 kawasan, semuanya kawasan Parlimen. Di setiap kawasan ini juga, ada cawangan-cawangan kita, ada jentera-jentera kita yang mana kerusi ini berdasarkan kepada jentera dan kedudukan mereka. Kita juga ambil kira faktor untung rugi kerjasama.

Contohnya, kadang-kadang undi kita tidak banyak, tapi itu penentu untuk memenangkan rakan kita. Kadang-kadang, rakan kita pula penentu untuk menangkan kita. Semua itu perlu diambil kira.

 

PILIHAN RAYA MENGEJUT

Pada pengamatan Tuan Guru, bilakah waktu terbaik untuk mengadakan pilihan raya?

Saya bersetuju kalau ia diadakan lebih cepat. Ini kerana kerajaan Perikatan Nasional (PN) memerlukan kepercayaan (rakyat) yang lebih besar. Kini, kita boleh lihat melalui pilihan raya kecil, nampaknya (kepercayaan rakyat jelas dilihat) begitu.

 

Relakah Pas berkompromi menyerahkan negeri-negeri di bawah penguasaannya kepada rakan komponen dalam Muafakat Nasional (MN) atau PN menjelang PRU akan datang?

Semua itu bergantung kepada keputusan pilihan raya. Saya fikir tak jadi masalah. Contohnya di Perak, Bersatu satu sahaja tapi boleh jadi Menteri Besar. Pas boleh terima keputusan itu, UMNO pun boleh terima. Di Johor dan Kedah dalam keadaan begitu, manakala di Kelantan dan Terengganu pula lain. Jadi kita akan lihat kewajarannya.

 

Ramai berkata, tempoh 22 bulan pemerintahan Pakatan Harapan (PH) adalah memeritkan. Boleh komen?

Saya rasa, PH tak tahu yang mereka ini kerajaan dan masih bersikap seperti pembangkang. Kalau kita lihat perbahasan mereka dalam Parlimen, tindakan-tindakan mereka, semuanya memperlihatkan mereka sebagai pembangkang. Walaupun dah jadi kerajaan, mereka tidak tahu. Apabila kita tanya di Parlimen, “ini kerajaan dulu, ini kerajaan dulu”. Masih menyalahkan kerajaan terdahulu.

 

BEZA PAS DI BAWAH NIK AZIZ

Apa beza Pas di bawah Allahyarham Nik Aziz dengan Pas di bawah kepimpinan Tuan Guru?

Saya rasa tiada beza. Bahkan strategi yang kita ambil iaitu taawun siyasi (kerjasama politik melibatkan penyatuan dalam menangani isu-isu berkaitan agama) diambil sejak Tok Guru (Nik Aziz) masih hidup lagi. Pendekatan kerjasama politik berbentuk coalition ini terlalu ketat sehingga tak boleh nak bertembung. Kita kena buat fleksibel sikit iaitu cooperation. Kami berbincang, antara Tok Guru Taharudin (Yaakob), Tok Guru Nik Aziz dan beliau sangat tertarik dengan pendekatan ini. Jadi kerjasama yang kita buat hari ini, diasaskan sewaktu beliau masih hidup lagi.

 

Jadi, tidak timbul isu mendakwa Pas di bawah Allahyarham Nik Aziz lebih ekstrem manakala Pas sekarang lebih terbuka?

Tak timbul kerana suasana berubah. Tok Guru Nik Aziz sendiri menyedari bagaimana di peringkat awal berlaku keadaan itu, dia melihat contohnya DAP yang ekstrem, walaupun kita bekerjasama dengan DAP dalam satu gabungan, tetapi mereka masih anggap kita sebagai lawan. Jadi bagaimana kita nak bekerjasama?

 

RUU 355

Dalam konteks Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 atau RUU 355. Kenapa pada waktu itu RUU355 ditolak, sedangkan ia bertujuan memperkasa Mahkamah Syariah?

Pada pandangan saya, Islamofobia mempengaruhi DAP. Apa sahaja yang berbentuk Islam, mereka tidak setuju. Bahkan, masalah kita mengharamkan arak bagi orang Islam sahaja, itupun mereka tidak setuju.

 

Adakah Pas terangkan hal-hal berkenaan Islam kepada DAP sewaktu mesyuarat pada waktu itu?

Alhamdulillah, saya barangkali yang paling banyak berdialog dengan mereka. Saya ditugaskan oleh parti sejak 1990. Dalam dialog itu, hujah mereka ialah takut orang bukan Islam tak undi mereka, mereka fikir itu sahaja iaitu untuk menang pilihan raya, bukan nak selesaikan masalah.

 

Jadi setakat mana perkembangan usaha untuk melaksanakan RUU 355 ini?

Caranya ialah proses pindaan Perlembagaan. Ini melihat kepada mana yang perlu didahulukan. Oleh kerana kita menghadapi masalah Covid-19 dahulu pada hari ini, masalah dan hal-hal lain dahulu, maka dahulukan apa yang perlu didahulukan. RUU 355 ini tidak hilang daripada perjuangan kita. Tapi harus lihat, mana yang perlu diutamakan.

 

DR. MAHATHIR KUDA TROJAN?

Ada mendakwa, Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah ‘kuda trojan’ untuk merosakkan PH dari dalam demi agenda geopolitik, barangkali. Apa komen Tuan Guru?

Bercakap mengenai Dr. Mahathir ini, dalam keadaan saya tak bersetuju dengan beliau, ada banyak juga perkara membuatkan saya bersetuju. Kita anggap ketokohan dia itu memang jelas di peringkat antarabangsa. beliau seorang yang berani dan tegas menghadapi kuasa-kuasa besar, kuasa Barat. Beliau konsisten dalam perkara itu, dan itu kita kena hormati.
Bahkan kita kena sedar, dalam isu mempertahankan hak bumiputera, beliau seorang yang sangat tegas dan tidak bertolak ansur. Ini kita kena hormat. Cuma, pendekatan itu sahaja yang membuatkan kita berbeza dengan Dr. Mahathir.

 

Pendekatan yang macam mana?

Pendekatan yang maksudnya, dia berkehendak kepada orang ini, kita pula hendakkan orang lain. Itu perkara biasalah.
Saya rasa itu kelincahan politik Dr. Mahathir, dan dia ada matlamat. Mungkin sebab itu, kenyataan Dr. Mahathir kadang-kadang kita kena baca terbalik. Contohnya saya nak sebut, dia pernah buat kenyataan: “DAP-lah yang lantik saya jadi Perdana Menteri” sewaktu era PH memerintah. Ini nak beritahu bahawa DAP nak berkuasa ni. Kena baca di situ, jangan kita terus melenting. Jadi, kenyataan-kenyataan Dr. Mahathir ini tidak boleh dibaca selapis-selapis, sebaliknya kena dibaca secara banyak lapis.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker