Walau dijangka menang, Umno Perak tak ambil mudah PRK Slim

Di atas kertas, Umno dijangka tidak berdepan kesukaran untuk mempertahankan kerusinya tetapi Pengerusi umno Perak Saarani Mohamad tidak akan mengambil mudah PRK Slim tak lama lagi.

Saarani berkata jika pengundi Umno yang tinggal di luar kawasan tidak pulang pada hari mengundi, ia boleh menjejaskan peluang parti itu.

“Atas kertas, macam itulah (menang mudah). Tapi harus diingat, kemenangan dikira melalui bilangan undi dalam peti undi. Kalau pengundi Umno di luar tak balik, ia tak beri makna,” katanya kepada Malaysiakini.

Katanya lagi, jika Umno tidak bekerja keras kerana menganggap Slim adalah kubu kuat mereka, ia boleh memakan diri.

“Jangan hanya kerana rasa kita akan menang mudah…Apa-apa pun, kena kerja kuat.

“Umno dan BN kena kerja kuat untuk pastikan penyokong balik mengundi,” katanya lagi.

PRK Slim diadakan susulan kematian penyandangnya, Mohd Khusairi Abdul Talib ekoran serangan jantung pada 15 Julai lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 15 Ogos sebagai penamaan calon dan 29 Ogos untuk hari mengundi.

Pada 31 Julai lalu, PH berkata ia akan memberi laluan kepada kumpulan Dr Mahathir Mohamad – dikenali sebagai Bersatu Blackout – untuk bertanding dalam PRK tersebut.

Semalam, Mahathir mengumumkan penubuhan sebuah parti Melayu baru yang menurutnya tidak akan terikat dengan PH atau Perikatan Nasional (PN).

Setakat ini kedua-dua pihak belum mengumumkan calon masing-masing.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Pengerusi Umno Tanjung Malim Mohd Zaidi Aziz adalah individu pilihan untuk menjadi calon.

Bagaimanapun, Saarani yang juga Adun Kota Tampan berkata ia masih belum diputuskan secara muktamad.

“Belum pasti sebab kita ada beberapa calon yang berkelayakan yang akan diputuskan. Kita sudah hantar tujuh nama.”

‘Bersatu sokong penuh Umno’

Berhubung kriteria calon, Saarani berkata tiada kriteria khusus yang ditetapkan selagi individu tersebut mempunyai kebolehan dan disukai pengundi.

Pihaknya juga tidak terlalu fokus kepada calon yang akan diletakkan pihak lawan mahupun bimbang dengan parti baru Mahathir, dan hanya akan memberi tumpuan kepada usaha memenangkan BN, katanya lagi.

Ditanya berkenaan tahap sokongan Bersatu dalam PRK kali ini, Saarani berkata keputusan parti itu untuk tidak meletakkan calon sudah memadai.

“Mereka tak letak calon bermakna mereka beri sokongan,” katanya. Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker