PUTRA Tegur Muhyiddin, UEC “Pelepasan Bersyarat”, BUKAN “Pengiktirafan Sebahagian”

Mohon PM perbetul istilah “pengiktirafan sebahagian”

KUALA LUMPUR – Kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin disifatkan sebagai bahaya apabila beliau menyatakan, kerajaan Persekutuan telah memberikan pengiktirafan sebahagian (partial recognition) kepada lepasan UEC untuk mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (Bahasa Cina) di IPGM.

Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Mohd Khairul Azam Abdul Aziz menegaskan, istilah “pengiktirafan sebahagian” itu adalah satu kesilapan besar Muhyiddin dan Putra mendesaknya supaya meminda atau menarik balik perkataan itu.

“Putra merujuk kepada kenyataan media Perdana Menteri hari ini terutama perenggan kedua kenyataan tersebut.

“Kenyataan rasmi Perdana Menteri ini adalah merbahaya dalam konteks ianya adalah bertentangan dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan serta mengancam kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.



“Ini kerana Sistem Pendidikan Kebangsaan, Akta Pendidikan 1996 dan Perlembagaan Persekutuan tidak pernah memberikan sebarang bentuk pengiktirafan terhadap apa-apa sistem peperiksaan asing yang tidak termasuk dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Muhyiddin dalam kenyataan balasnya hari ini memaklumkan, beliau tidak menyatakan kerajaan akan mengiktiraf Sijil peperiksaan Bersepadu (UEC), sebaliknya peperiksaan itu perlu mengikut Dasar Pendidikan Kebangsaan sekiranya mahu dipertimbangkan penyelesaiannya oleh kerajaan pada masa hadapan.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, UEC telah mendapat pengiktirafan sebahagian apabila kerajaan padam masa lalu telah menerima lepasan UEC untuk mengikuti IPGM dalam bidang pengkhususan bahasa Cina di institute pendidikan guru.

Menurut Mohd Khairul Azam, sekiranya kerajaan Pakatan Harapan (PH) terdahulu yang di kuasai DAP telah meluluskan kemasukan graduan UEC ke IPG, ini tidak sama sekali bermaksud kerajaan Yang di-Pertuan Agung telah memberikan pengiktirafan sebahagian, malah istilah yang tepat hanya memberikan “pelepasan bersyarat”, bukann “pengiktirafan sebahagian”.



Kata beliau, bagaimana mungkin wujud keadaan “pengiktirafan sebahagian” berkenaan dalam situasi hanya untuk kuota 20 tempat setahun di IPG untuk subjek bahasa Cina di sekolah.

“Ada beribu tempat lagi di IPG untuk puluhan subjek lain yang langsung tidak menerima kemasukan luluskan UEC, jadi dari mana kelayakan untuk dikatakan polisi itu hanyalah “pengiktirafan sebahagian”?

“Sebahagian dari apa kalau ianya sekadar satu peratus dari keseluruhan kemasukan ke IPGM. Kerajaan dulu yang telah tumbang sendiri memang selalu silap kira, silap titik perpuluhan dan satu peratus pastinya bukan sebahagian.

“Jika kenyataan media Perdana Menteri ini tidak diperbetulkan, pastinya Dong Zhong bersorak gembira kerana usaha mereka selama ini telah diakui oleh Muhyiddin mendapat “pengiktirafan sebahagian” oleh kerajaan,” katanya.



Katanya, jika Perdana Menteri tidak memperbetulkan semula kenyataan media itu, Putra akan mengambil tindakan lanjut bersama rakyat. – MalaysiaGazette

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker