AMARAN kepada Gengster! Saya akan ‘SAPU’ semuanya – Ketua Polis Negara

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador hari ini dengan tegas menyatakan “Sesiapa yang mengaku dirinya ‘gengster’, semua saya akan tangkap dan ambil tindakan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA)”.

Katanya, beliau dan pasukannya kini dalam misi untuk membersihkan budaya gengsterisme di negara ini, dan memperbetulkan minda masyarakat, supaya elemen-elemen gengsterisme dapat dibendung di sekolah rendah mahupun sekolah menengah.

“Sekarang ini, ada pelajar sekolah menengah yang berada di Tingkatan 1 dan Tingkatan 2 sudah pandai asosiasikan diri dengan kumpulan gengster antaranya ‘Ayahanda’, sampai boleh ugut orang minta duit. Gengsterisme ini saya hendak ‘sapu’ semuanya,” katanya kepada Bernama di Bukit Aman, di Kuala Lumpur.

Abdul Hamid berkata, pihaknya tidak akan memberi ruang dan akan memerangi isu gengsterisme ini secara habis-habisan.

Tegasnya, beliau tidak akan bertoleransi terhadap gengsterisme di negara ini, dan akan menahan sesiapa sahaja tanpa mengira bangsa, jika terlibat dalam perkara berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hamid telah mengarahkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, untuk melaksanakan operasi secara menyeluruh membanteras lumba haram di negara ini.

“Selain itu, saya bercadang untuk mewujudkan satu fail kes bagi menahan penganjur perlumbaan haram, di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

“Penganjuran perlumbaan haram ini menggalakkan lagi berlaku kes jenayah seperti kecurian motosikal, maka polis akan menggunakan POCA ini untuk menahan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Hamid turut mengingatkan anggota polis di bahagian logistik, supaya memastikan tiada penyelewengan berlaku dalam segala jenis projek.

“Saya memang menolak sebarang jenis bayaran daripada dan dari mana-mana pihak kontraktor, yang hendak memberikan projek kepada polis.

“Saya secara holistik tidak beri peluang, kerana saya sebagai IGP (Ketua Polis Negara) tidak menginginkan apa-apa pun, satu sen pun saya tolak apatah lagi belanja makan daripada pihak kontraktor,” tegasnya.

“Jika adik beradik saya sendiri hendak melobi projek, jauh sekali, saya tidak akan bagi mereka campur dalam PDRM,” katanya.

– Bernama

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker