Imigresen batal permit kerja warga Bangladesh ditemubual Al Jazeera, kata polis



Sebaran :

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berkata Jabatan Imigresen sudah membatalkan permit kerja seorang lelaki Bangladesh ditemubual saluran berita Al Jazeera dalam sebuah programnya yang mendakwa Malaysia mendiskriminasi pendatang asing ketika menangani Covid-19.

“Setahu saya Jabatan Imigresen telah batalkan,” katanya kepada FMT ketika ditanya mengenai Md Rayhan Kabir.

Pada 7 Julai lalu, Jabatan Imigresen mengumumkan ia sedang mengesan Rayhan, 25, untuk membantu siasatan di bawah Akta Imigresen 1959/63.



Al Jazeera menerusi dokumentari 25 minit bertajuk “Locked Up in Malaysia’s Lockdown” dalam program 101 East pada 3 Julai lalu mendakwa Putrajaya menggunakan alasan kesihatan dan keselamatan awam untuk menahan pendatang asing tanpa izin.

Susulan itu, polis menyiasat saluran berita berpangkalan di Qatar itu di bawah Akta Hasutan 1948, Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana menyiarkan berita fitnah serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyalahgunakan rangkaian perkhidmatan secara tidak wajar.

Jumaat lalu, 6 kakitangan Al Jazeera ke Bukit Aman untuk disoal siasat.



Sementara itu, Harian Metro melaporkan Hamid menggesa Rahyan menyerah diri sebelum dihantar pulang ke negaranya.

FMT sedang menghubungi Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud untuk mendapatkan komennya.

FMT




Sebaran :


Leave a Reply