Nak tahu apa itu “Totey”, tunggu…

“SAYA tak akan jelaskan maksud ‘Totey’ sekarang kerana ia hanya akan dijawab dalam filem ini. Maksud sebenar ‘Totey’ akan diketahui jawapannya dalam filem Mael Totey nanti,” kata Youtuber dan pelakon, Syahmi Sazli berkenaan judul filem sulungnya itu yang dikatakan berbunyi lucah.

Esok akan membuka cabaran baru buat Syahmi, 25, atau nama sebenarnya Muhd Syahmi Sazli kerana penggambaran Mael Totey akan bermula.

“Penggambaran dibuat sekitar negeri Kelantan iaitu Kota Bharu, Tok Bali dan Tumpat. Perasaan saya sangat gementar kerana ini kali pertama saya arahkan filem dan berlakon sekali.

“50 peratus kru saya terdiri dari sanak saudara dan sepupu saya yang tiada pengalaman buat kerja-kerja begini,” katanya kepada Harian Metro.

Dia bagaimanapun mengambil langkah bijak apabila selebihnya mengambil kru yang mempunyai lebih 30 tahun pengalaman untuk bekerja dengannya.

“Mereka dah terbabit dalam ratusan filem. Merekalah yang bagi ilmu dan banyak tunjuk ajar.

“Alhamdulillah mereka sudi nak bekerjasama dengan kami yang memang tiada pengalaman langsung buat filem,” katanya.

Syahmi mengambil keputusan membawa Mael Totey daripada YouTube ke filem selepas menerima reaksi hebat daripada peminat.

“Drama ini dihasilkan sebanyak lapan episod dan dah setahun menyepi. Jumlah tontonan dari episod satu hingga lapan pula lebih 17 juta. Ia tergantung pada episod lapan dan peminat minta sambung di YouTube.

“Tapi saya pilih untuk buat filem dengan perbaharui plot dan suntik idea yang segar. Ia turut diselit dengan unsur spontan,” katanya.

Mael Totey dianggarkan menelan kos antara RM300,000 sehingga RM400,000 menampilkan pelakon daripada golongan istimewa iaitu Asif Suhaimi, Yoe Parey, Bedul dan Pak Abu.

Menurut Syahmi, dia perlu memastikan mereka berada dalam mood terbaik supaya penggambaran yang dijangka memakan masa selama 12 hingga 14 hari berjalan lancar.

“Saya kena jaga mereka, tak boleh dedahkan dengan panas melampau kerana nanti tiada ‘mood’.

“Saya akan biarkan mereka rehat dulu. Kalau tiada mood juga, saya akan bagi makan dan minum kerana itu penting.

Beliau “Perut mereka tak boleh kosong. Jika tidak, mereka tiada mood dan tak boleh berlakon. Saya akan pastikan mereka kenyang dan selepas itu barulah buat satu babak kemudian berehat dan begitulah seterusnya,” katanya.

Ditanya berkenaan proses menghafal skrip, Syahmi berkata, dia melakukan sesi uji terlebih dahulu kepada mereka.

“Apabila dalam set tengah ‘rolling’, saya akan ‘que’ dan bagi arahan. Kami tiada ‘cut’ tapi saya akan buang bahagian di mana saya berikan arahan semasa proses suntingan nanti.

“Saya cuma risaukan cuaca yang tidak menentu sahaja sekarang. Kalau panas memang bagus tapi saya risau sekiranya mendung atau hujan.

“Kami banyak shooting ‘outdoor’ dan perlukan cahaya yang cukup,” katanya.

Filem yang dijangka ditayangkan di saluran Astro First pada Ogos atau September ini turut membariskan bintang YouTube Syahmi iaitu Emaleen Minhad, Wanie Rohaimie, Yatin serta barisan pelakon terkenal terdiri daripada Catriona Ross, Husyairi Hussin, Daler Yusof dan Kamarool Yusoff.
HM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker