Penduduk Arab Saudi terpaksa lupakan zaman mewah

Share

 

PENDUDUK Arab Saudi berdepan dengan kenaikan tiga kali ganda dalam cukai nilai tambah (VAT) pada Rabu lalu, langkah penjimatan yang tidak popular selepas dua kejutan berlaku iaitu pandemik koronaviris (Covid-19) dan penurunan harga minyak.

Ia sekali gus mencetuskan kemerosotan ekonomi negara itu buat pertama kali dalam tempoh berdekad-dekad lamanya.

Para peruncit di negara itu melaporkan peningkatan kecil dalam jualan pada minggu ini dalam pelbagai barangan daripada emas dan elektronik kepada kereta serta bahan-bahan pembinaan ketika pekedai berusaha untuk menambah stok sebelum cukai VAT naik daripada lima peratus kepada 15 peratus mulai 1 Julai.


Kenaikan itu mampu mencetuskan kemarahan orang awam dan membebankan pendapatan isi rumah, meningkatkan inflasi dan mengecewakan perbelanjaan pengguna ketika negara tersebut keluar daripada perintah berkurung selama tiga bulan.

“Di mana-mana sahaja, potong, potong, potong (subsidi),” kata seorang guru Arab Saudi di Riyadh kepada agensi berita AFP yang mengeluh tentang kehilangan subsidi ketika pendapatan masih lagi tidak naik.

“Pendingin udara, televisyen barang-barang elektrik,” tambahnya yang bercakap dengan lancar tentang senarai barang yang dibelinya pada minggu lalu sebelun cukai VAT dinaikkan.


Penduduk Arab Saudi membeli-belah di sebuah kedai emas di Riyadh sebelum cukai VAT dilaksanakan pada Rabu lalu.

“Saya tidak boleh membeli barang-barang itu bermula daripada hari Rabu,” ujarnya.

Berikutan kekayaan minyak yang banyak dan membiayai ekonomi terbesar dunia Arab itu, negara beraja tersebut mempunyai masa berdekad-dekad lamanya untuk mendanai perbelanjaan besarnya tanpa sebarang cukai dikenakan.

Hanya pada tahun 2018, Arab Saudi memperkenalkan VAT sebagai sebahagian daripada usaha untuk tidak bergantung kepada pendapatan menerusi minyak.


Dalam usaha untuk meningkatkan kewangan kerajaan yang menghadapi penurunan harga minyak dan krisis Covid-19, ia mengumumkan pada bulan Mei lalu bahawa cukai VAT akan dinaikkan tiga kali ganda dan menghentikan elaun sara hidup bulanan kepada penduduknya.

Langkah itu menggambarkan bagaimana Arab Saudi yang pernah bermewah dalam perbelanjaan kini hanya menjadi satu perkara sudah berlalu dengan terhakisnya sistem kebajikan sekali gus meninggalkan kebanyakan generasi muda untuk berdepan dengan pengurangan pendapatan serta penurunan gaya hidup.

Keadaan itu mencetuskan bebanan terhadap kontrak sosial yang sudah berusia berdekad-dekad lamanya yang mana penduduk diberikan subsidi sebagai pertukaran kepada kesetiaan terhadap sistem monarki diraja.

Peningkatan kos hidup mungkin menyebabkan ramai penduduk bertanya kenapa dana kerajaan yang mewah digunakan untuk projek-projek bernilai berjuta-juta bilion dan membeli aset luar negara termasuk rancangan untuk membeli kelab bola sepak Inggeris, Newcastle United.

Pusat-pusat beli-belah di negara beraja itu telah menerima kehadiran ramai pengguna sejak beberapa hari lalu ketika para peruncit menawarkan jualan sebelum VAT dan diskaun sebelum kenaikan harga tersebut.

Sebuah kedai emas di Riyadh mendapati terdapat peningkatan sebanyak 70 peratus jualan sejak beberapa minggu lalu manakala sebuah pusat penjualan kereta pula melihat kenaikan jualan sebanyak 15 peratus.

Sejurus selepas kenaikan VAT itu dikuatkuasakan, diramalkan apa sahaja perniagaan akan mencatatkan jualan mengecewakan daripada kereta kepada barang-barang komestik serta peralatan perumahan.

Firma Capital Economics meramalkan, inflasi akan meningkat sebanyak enam peratus daripada setahun ke setahun iaitu daripada 1.1 peratus pada bulan Mei hasil pelaksanaan VAT.

“Kerajaan manamatkan perintah berkurung (pada bulan Jun) dan terdapat tanda-tanda bahawa kegiatan ekonomi sudah mula pulih,” kata laporan Capital Economics.

“Bagaimanapun, kami menjangkakan pemulihan akan bergerak perlahan ketika langkah-langkah penjimatan mencengkam,” tambah laporan tersebut.

Sebelum ini, Emiriah Arab Bersatu (UAE) memperkenalkan VAT pada tahun yang sama dengan Arab Saudi tetapi tidak pernah menaikannya melebihi lima peratus.

“Arab Saudi mengambil risiko besar dengan dasar-dasar fisiklanya yang kontrakdisi,” kata Ketua Eksekutif Teimur Tengah Nomura Asset Management, Tarek Fadlallah.

Namun, negara beraja itu tidak mempunyai pilihan lain kerana harga minyak yang menurun.

Arab Saudi menaikkan cukai VAT tiga kali ganda kepada 15 peratus bermula Rabu lalu.

Kewangannya telah menerima tamparan hebat apabila pihak berkuasa menurunkan bilangan jemaah haji daripada 2.5 juta pada tahun lalu kepada tidak sampai 10,000 umat Islam yang sudah pun menetap di negara tersebut selain menggantung ibadat umrah kerana pandemik Covid-19.

Kedua-dua ibadat itu membawa pulangan pendapatan AS$12 bilion (RM51.44 bilion) pada setiap tahun.

Tabung Kewangan Antarabangsa memberi amaran kepada negara beraja itu bahawa Keluaran Dalam Negara Kasarnya akan menyusut 6.8 peratus pada tahun ini.

Ia merupakan penurunan terburuk sejak krisis minyak pada tahun 1980an.

Langkah berjimat-cermat itu akan membantu meningkatkan tabung negara AS$26.6 bilion (RM114.02 bilion), menurut media kerajaan.

Bagaimanapun, ia tidak dapat menampung defisit bajet Arab Saudi yang besar.

Kumpulan pelaburan Saudi Jadwa Investment meramalkan kekurangan itu akan mencatat peningkatan rekod AS$112 bilion (RM480.09 bilion) pada tahun ini. – AFP

Leave a Reply