Calon sama-sama yakin, guna kaedah tersendiri rayu undi


Mohd Shahrim menemui masyarakat setempat pada hari kedua tempoh berkempen semalam.

PEKAN – Ramalan umum Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini kini memihak kepada calon Barisan Nasional (BN), Mohd Shahrim Md Zin yang dijangka menang dengan majoriti besar tetapi bagi calon Bebas, mereka yakin tetap ada sokongan walaupun peluang mereka untuk menang agak tipis.

Atas keyakinan itu, dua calon Bebas, Tengku Datuk Zainul Hisyam Tengku Hussin dan Mohd Shukri Mohd Ramli tampil merancakkan suasana kempen dengan turun padang menemui pengundi di DUN Chini pada hari kedua tempoh berkempen semalam.

“Lawan tetap lawan, kalah menang belakang kira,” tegas Mohd Shukri, 49, pada sidang akhbar Pelancaran Manifesto Bebas Pro Rakyat di Felda Chini 2 di sini.



Begitu juga dengan Tengku Zainul Hisyam yang terus mengulangi keyakinannya terhadap sokongan pengundi kepadanya ketika ditanya wartawan selepas beliau menemui peniaga dan pengunjung Pasar Tani Kekal Chini semalam.

Keyakinan dua calon itu, mungkin bagi sesetengah pihak hanya sekadar retorik, namun pada 4 Julai depan kejutan boleh berlaku.

Mungkin masih terlalu awal lagi untuk membuat sebarang andaian terhadap keyakinan calon Bebas itu kerana proses berkempen baru bermula dan belum pun ‘panas enjin’ lagi.

Setidak-tidaknya, keyakinan calon Bebas tersebut membawa isyarat kepada calon BN untuk tidak leka dalam zon selesa sebaliknya tempoh berkempen yang berbaki 12 hari lagi perlu dimanfaatkan sebaiknya agar pengundi yakin beliau mampu menggantikan Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun.



Isu tidak puas hati terhadap calon dipilih bukan perkara baharu dalam mana-mana PRU atau PRK kerana masing-masing baik dalam kalangan ahli parti mahupun pengundi, mereka ada calon pilihan yang difikirkan paling baik.Justeru, isu tersebut perlu diberi perhatian oleh calon terutama calon BN untuk membuktikan bahawa beliau ialah calon paling tepat dan bukan seperti yang difikirkan mereka yang menolaknya.


Tengku Zainul Hisyam (dua dari kiri) ambil kesempatan berkempen pada hari kedua semalam.

Dalam tinjauan Sinar Harian yang mengumpulkan pandangan para pengundi terhadap calon-calon yang bertanding pada PRK DUN Chini di sini, ia mendapat reaksi yang pelbagai.

Ada yang cukup puas hati, melahirkan keyakinan salah seorang daripada calon itu mampu mewakili mereka dan ada yang berpandangan ada dalam kalangan calon itu langsung tidak meyakinkan. Mereka bebas memberikan pandangan, namun penentunya terpulang kepada suara majoriti yang akan membuang undi pada 4 Julai nanti.



Secara umumnya, melihat kepada proses berkempen pada hari kedua semalam, kehadiran Mohd Shahrim, 41, dan Tengku Zairul Hisyam, 64, diterima baik oleh peniaga dan pengunjung Pasar Tani Kekal Chini ketika mereka melakukan kempen bertemu pengundi di situ.Kedua-dua calon itu sudah tidak asing lagi bagi penduduk di DUN Chini.

Pengamatan pada hari kedua berkempen itu juga mendapati ketiga-tiga calon nampaknya berkempen secara sihat dan sedaya upaya patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).


Mohd Shukri berkempen dengan cara tersendiri.

Bagaimanapun, pada awal proses berkempen dalam normal baharu ketika ini, bahang kehangatannya belum dirasai ditambah pula dengan ketiadaan perang poster atau bendera parti. Untuk menghangatkan suasana berkempen dalam normal baharu itu, calon mungkin ada cara tersendiri tetapi tidak melanggar SOP yang ditetapkan pihak SPR.



Yang jelasnya aktiviti seharian penduduk tetap berjalan seperti biasa.

SH

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker