Dah lama tak balik kampung, Karak sesak teruk

Terkini di My KMU !!!!---->

“MEMANGLAH dah buat persediaan nak tempuh kesesakan, tetapi tak sangkalah sehingga seteruk ini,” kata Azizi Ali, 39, pengguna Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak antara kenderaan yang terperangkap dalam kesesakan di situ.

Azizi berkata, banyak kenderaan termasuk kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Hyundai Starex miliknya tidak bergerak kira-kira sejam di laluan selepas lima kilometer dari Plaza Tol Gombak arah ke timur.

Dia yang membawa isteri dan enam anaknya untuk pulang ke kampung di Felda Jengka 20, Bandar Tun Razak di Pahang berkata, mujurlah dia mengambil keputusan bergerak malam jadi keluarganya itu tidaklah bosan sebaliknya boleh tidur.

“Kami bertolak dari rumah di Taman Sentosa Kajang 10.30 malam. Tak sesak pun, kira-kira setengah jam sahaja dah sampai di Plaza Tol Gombak.

“Tetapi sebaik sahaja melepasi lima kilometer melepasi plaza tol itu, sesak teruk dan ada masanya kenderaan tak berjalan.

“Ada lori rosak menyebabkan kesesakan teruk. Selepas Bukit Tinggi baru bergerak secara perlahan-lahan. Tak apalah, dah lama tak balik kampung, hadaplah,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, pihaknya menjangkakan kesesakan di laluan menuju Pantai Timur sebab kadar pertambahan kenderaan yang tinggi.

“Selain itu, kesesakan malam tadi turut disumbangkan kerosakan lori di Terowong Genting Sempah – Bentong arah timur.

“Siang tadi juga berlaku kesesakan di kawasan berkenaan disebabkan lori yang rosak arah ke timur,” katanya.

Bermula Rabu lalu menerusi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kerajaan membenarkan perjalanan rentas.

Disebabkan Syawal belum berakhir dan masih dalam ‘mood’ perayaan Aidilfitri, orang ramai dijangka mengambil peluang balik kampung.

Terutamanya, ia kerana masyarakat Malaysia sudah menahan diri dari balik kampung selepas 85 hari sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan 18 Mac lalu sekali gus larangan rentas negeri turut dikuatkuasakan.

HM

Leave a Reply