Pembangunan Kampung Baru perlu kelulusan datuk bandar

KUALA LUMPUR: Semua urusan mengenai kawalan pembangunan di Kampung Baru di sini, perlu mendapat kelulusan daripada Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.

Ia membabitkan semua urusan perbandaran termasuk pelesenan perniagaan dan penjaja; pengurusan lalu lintas dan parkir; pengiklanan; permit penutupan jalan serta aktiviti penguatkuasaan.

DBKL dalam kenyataannya hari ini, menjelaskan Datuk Bandar adalah pihak berkuasa tempatan (PBT) yang diberi kuasa dan dipertanggungjawabkan bagi menjalankan fungsi untuk mentadbir Kuala Lumpur.

Sehubungan itu, katanya, semua tanah dan aktiviti di kawasan Kampung Baru adalah tertakluk kepada peruntukan undang-undang diguna pakai Datuk Bandar Kuala Lumpur, termasuk Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.



Kampung Baru tertakluk kepada perundangan Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982; Akta Kerajaan Tempatan 1976; Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974; Akta Hiburan (WPKL) 1992; Akta Hotel (WPKL) 2003 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Bagi tujuan ini, urusan kawalan pembangunan termasuk kelulusan perintah pembangunan; pelan bangunan dan kejuruteraan; permit menjalankan kerja bangunan dan tanah serta kebenaran menduduki bangunan perlu mendapat kelulusan Datuk Bandar Kuala Lumpur.

“Namun, DBKL amat mengalu-alukan pembabitan penduduk atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam melaksanakan tanggungjawab sosial bagi membantu usaha kerajaan untuk mempertingkatkan perkhidmatan perbandaran kepada komuniti Kampung Baru,” katanya.

Kenyataan itu mengulas isu berhubung status Lembaga Pentadbiran Malay Agricultural Settelement (MAS) dibangkitkan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB).



Sabtu lalu, PKB menjelaskan fungsi pentadbiran tanah di Kampung Baru dilaksanakan sepenuhnya Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan bukannya di bawah Kaedah-Kaedah MAS.

Ia berdasarkan peruntukan subseksyen 5(1) Akta Perlembagaan (Pindaan) (No 2) 1973 (Akta A206) dan Kaedah-Kaedah MAS perlu dimansuhkan kerana Lembaga Pentadbiran MAS tidak lagi mempunyai fungsi.

Kebanyakan tanah MAS dilapor sudah menjadi tanah beri milik dan tanah yang hanya menunggu masa untuk diberi milikan.

SH



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker