Kenapa benci kami, kata ketua NGO pelarian berdepan gangguan

Share

PETALING JAYA: Pemimpin sebuah NGO tempatan berkata, beliau berdepan banyak komen kebencian di media sosial selepas mendedahkan penderitaan pelarian dan migran.

Seorang pengguna Facebook menyuruhnya membunuh diri, kata Heidy Quah, pengasas Refuge for the Refugees, menerusi satu catatan dalam talian yang menyuarakan kekecewaannya terhadap gangguan itu.

Katanya, beliau bingung dengan tahap kebencian sesetengah rakyat Malaysia terhadap pelarian dan migran.

Beliau berkata, tahap komen kebencian meningkat akhir-akhir ini, khasnya ketika perintah kawalan pergerakan.

Heidy Quah, pengasas Refuge for the Refugee

“Saya sudah bekerja dalam bidang ini hampir 10 tahun. Saya pernah terima beberapa kritikan, tetapi tidak ekstrem seperti ini. Orang ramai menghantar segala jenis komen kebencian dalam ‘inbox’ saya dan bukan hanya menghina pemikiran serta pendapat saya.

“Tak apa jika anda mahu melepaskan kemarahan, tetapi jangan sampai tahap mengugut keselamatan saya. Jangan sampai tahap menyerang keluarga dan bangsa saya,” katanya yang turut diberikan gelaran “pendatang dan “pengkhianat negara”.

“Saya cuba memahami kenapa sesetengah orang merasakan ia satu ancaman apabila saya bercakap mengenai apa yang berlaku di pusat (tahanan imigresen) itu,” katanya kepada FMT.

Individu lain dalam bidang itu turut mendapat komen kebencian sama. Katanya, beliau bercadang membuat laporan kepada polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.

Dalam catatan awal Facebooknya, beliau menceritakan pengalamannya bekerja dengan seorang wanita yang ditahan di sebuah depot tahanan imigresen sejurus melahirkan anaknya.

Quah mendedahkan kemudahan dan keadaan teruk di pusat itu. Katanya, wanita kekurangan tuala wanita dan makanan, serta Quah diminta mendapatkan susu dan lampin untuk bayi wanita terbabit.

Catatan itu mendapat reaksi bercampur-campur, dengan ada yang menyokong migran dan sesetengah pula mengutuk.

Bagaimanapun, seorang pengguna berkata: “Pergi gantung diri anda!”

“Nada perbualan berubah sedikit. Orang tidak terlalu ekstrem dahulu.”

Beliau merayu rakyat Malaysia melihat komuniti pelarian dan migran sebagai manusia dan mengenali mereka secara individu.

Katanya, ramai yang melarikan diri dari negara mereka untuk menyelamatkan diri, tetapi menjadi mangsa sindiket penipuan serta pemerdagangan manusia.

“Saya agak terkejut yang orang mempunyai tanggapan keadaan lebih baik untuk mereka di sini sedangkan bukan. Mereka masih hidup dalam ketakutan terhadap keselamatan diri.

“Kita benar-benar bertuah tidak lahir dalam keadaan sama seperti mereka, tetapi bagaimana jika kita seperti mereka? Bagaimana kita mahu dilayan dan ditangani?” soalnya.

Beliau menggesa pemimpin kerajaan mempertimbangkan sumbangan migran dan pelarian ke arah pembangunan negara, khasnya mereka yang bekerja berat.

Beliau turut menggesa Putrajaya mempelajari cara menggunakan sumber ini dan membangunkan kekuatan mereka kerana sebahagian ekonomi bergantung kepada komuniti ini.

FMT

One thought on “Kenapa benci kami, kata ketua NGO pelarian berdepan gangguan

  • June 7, 2020 at 11:06
    Permalink

    Buat la Refuge for Refugees di Singapura, HongKong, Taiwan atau Australia. Negara2 kaya ni mesti boleh membantu pelarian2 dan pendatang secara HARAM!
    Pandai pulak negara2 cina hanya utk org cina. Mat salleh hanya utk mat salleh. Tapi Tanah Melayu ni mesti dibuka utk sesiapa saja yg naik bot masuk atau seludup menerusi lorong2 tikus. Kenapa kita mesti terima sesiapa yg nak masuk tetapi singapura boleh memilih? Pergi la lobi singapura dan australia utk menerima mereka!
    Nak berlagak suci!

    Reply

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!