Zahid tawar Bersatu kembali sertai Umno tapi….

Share

‘Zahid tawar Bersatu kembali sertai Umno tapi Muhyiddin tak akan setuju’

Exco Pemuda Bersatu (Armada), Muzammil Ismail mendedahkan bahawa Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pernah menawarkan Bersatu supaya kembali menyertai Umno.

Bagaimanapun, kata Muzammil, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin tidak akan bersetuju dengan cadangan itu.

Muzammil berkata demikian ketika dihubungi Malaysiakini bagi mengulas laporan yang mengatakan terdapat perbincangan sedang diadakan antara Bersatu dan Muafakat Nasional bagi membolehkan parti itu kembali menyertai Umno dalam masa terdekat.

“Bersatu masuk Umno tidak tepat sama sekali, walaupun memang ada Zahid tawarkan kerana ingin memperkukuhkan parti Melayu.

“Tetapi Muhyiddin dan MPT Bersatu tidak akan bersetuju dan lebih baik berada dalam wadah parti masing-masing kerana ideologi yang berlainan walaupun asas yang sama iaitu parti dominasi Melayu dan Islam.

“Keperluan utama sekarang adalah memperkukuhkan dan menyatukan parti Bersatu selepas krisis dalaman. Itu lebih tepat,” katanya kepada Malaysiakini.

Sinar Harian dalam satu laporan memetik penganalisis politik veteran Profesor Dr Ahmad Atory Hussain yang mendakwa terdapat perbincangan antara Bersatu dan Muafakat Nasional berhubung perkara itu.

Ahmad Atory berkata, perbincangan itu difahamkan sudah memasuki peringkat lebih serius apabila presiden Umno dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang sedang menimbang kemungkinan memberi laluan kepada Muhyiddin terus memegang jawatan perdana menteri walaupun kembali menyertai Umno kelak.

Menurutnya, kesahihan perbincangan itu menjadi semakin kuat apabila Muhyiddin dan Bersatu kini tidak lagi dibayangi oleh bekas Pengerusinya, Dr Mahathir Mohamad serta bekas Timbalan Presiden Bersatu, Mukhriz Mahathir.

“Walaupun Muhyiddin dipecat daripada Umno, masih ramai pemimpin menyokong beliau kerana kekuatan hubungan antara mereka.

“Saya turut difahamkan penyertaan Bersatu dalam Umno akan dimuktamadkan dalam satu majlis Muafakat Nasional meskipun terdapat usaha parti itu mewartakan kolisi Perikatan Nasional (PN) ketika ini.

“Mengenai kedudukan Muhyiddin, jika Hadi dan Zahid bersetuju memberi beliau dan Bersatu ruang pengekalan jawatan Perdana Menteri secara konsensus, saya kira itu satu keputusan baik demi kepentingan perpaduan Melayu dan Islam,” katanya seperti dipetik laporan itu.

MT Umno nafi

Bagaimanapun Anggota Majis Tertinggi (MT) Umno Armand Azha Abu Hanifah ketika dihubungi menafikan dakwaan wujud pelawaan daripada Zahid untuk Bersatu menyertai Umno.

Katanya, sebagai anggota MT Umno perkara itu tidak pernah dibangkitkan dalam mesyuarat tertinggi yang berlangsung selama ini.

“Pertama sebagai seorang ahli MT Umno, buat masa ini perkara ini tidak dibincang dalam MT Umno.

“Sebarang tawaran daripada Umno harus mendapat persetujuan keputusan MT Umno terutama perkara yang dinyatakan oleh pemimpin Bersatu.

“Mereka selaku kepimpinan tertinggi Bersatu boleh terus bertanya pada presiden parti mereka iaitu Muhyiddin tentang persoalan yang bermain difikiran mereka,” katanya kepada Malaysiakini.

Jelas Armand, perkara utama ketika ini ialah mengukuhjan semua parti dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) yang kini menerajui Putrajaya.

Sementara itu Ahli MPT Bersatu Rais Hussin Mohamed Arif, berkata pemimpin Bersatu tidak pernah dimaklumkan mengenai perkara itu.

“Tidak ada pengetahuan mengenai perbincangan seperti itu. Majlis tertinggi belum dimaklumkan mengenai inisiatif tersebut.

“Sama ada benar dan rasmi hanya masa yang akan menentukannya. Sekiranya benar, sungai mula mengalir ke lautan,” katanya.

Mkini

Leave a Reply