Krisis kepimpinanan bakal membawa kepada pengharaman parti Bersatu.

Share

Mencongak masa depan Bersatu: Mengulangi nasib Umnokah?

Bersatu merupakan parti yang ditubuhkan oleh bekas pemimpin Umno dalam usaha mereka menumbangkan BN yang ketika itu dipimpin Najib Razak.

Kelahiran Bersatu berlaku selepas Muhyiddin Yassin – ketika itu menjadi timbalan presiden Umno – dan Dr Mahathir Mohamad disingkirkan kerana kritikan mereka dalam skandal 1MDB.

Penubuhan Bersatu menyaksikan Mahathir dilantik sebagai pengerusi manakala Muhyiddin menjadi presidennya. Bekas menteri besar Kedah, Mukhriz Mahathir, pula diletakkan sebagai timbalan presiden.

Semuanya kelihatan berjalan lancar sehinggalah berlaku gerakan sulit dan mengejutkan ramai dalam peristiwa digelar sebagai Langkah Sheraton – yang mengambil nama sempena tempat ia berlaku.

Tiba-tiba Muhyiddin mengumumkan Bersatu menarik diri daripada gabungan yang memenangkan mereka – Pakatan Harapan (PH) – untuk bersama-sama dengan parti yang kalah buat pertama kali dalam sejarah pilihan raya umum (PRU) negara, iaitu Umno serta BN.

Ia kemudian membawa kepada jatuhkan kerajaan PH selepas mereka mendapat mandat daripada rakyat pada Mei 2018.

Kesinambungan perjalanan politik Bersatu kemudian menyaksikan parti itu membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) namun ia tidak mendapat restu Mahathir serta beberapa pemimpin lain.

Apa yang berlaku seterusnya ialah krisis yang berlarutan sehingga membabitkan status keanggotaan kem Mahathir dalam Bersatu.

Bagaimanapun 19 Mei lalu, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) mengesahkan peletakan jawatan Mahathir sebagai pengerusi Bersatu pada 24 Februari lalu dan Muhyiddin kini menjadi pemangku.

Kerana perebutan kuasa dalaman

Untuk rekod, mengikut Perlembagaan Bersatu, jawatan tertinggi dalam parti itu ialah pengerusi dan semua keputusan tertakluk kepada kelulusan penyandangnya.

Keadaan itu meletakkan Muhyiddin berdepan dengan jalan sukar kerana Mahathir tidak memberikan restu kepada langkah Bersatu bekerjasama dengan Umno.

Turut digugurkan keanggotaan daripada Bersatu ialah Mukhriz; Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; dan anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Maszlee Malik dan Amiruddin Hamzah.

Menurut Bersatu pemecatan itu dibuat mengikut Fasal 10.2.2 dan 10.2.3 Perlembagaan Bersatu.

Ekoran daripada itu timbul persoalan sama ada Bersatu akan ditimpa nasib seperti Umno pada 1987 dulu apabila ia diharamkan gara-gara perebutan kuasa dalaman parti.

Bagaimanapun, penganalisis politik Prof Mohd Azizuddin Mohd berpendapat mustahil untuk Bersatu mengulangi apa yang berlaku pada Umno pada 33 tahun lalu.

Kata pensyarah Universiti Utara Malaysia itu krisis yang membelenggu Bersatu tidak sama dengan apa yang terjadi pada Umno dulu.

“Dari segi Perlembagaan Bersatu, ia jelas, dan saya ada nampak salah langkah sikitlah di pihak Mahathir dan empat yang lain, yang duduk di kerusi pembangkang.

“Dan sekarang ini mereka telah terpecat dengan sendirinya apabila duduk di kerusi pembangkang. Jadi, kalau mereka tak puas hati, jalan penyelesaiannya adalah bawa isu ini ke mahkamah untuk disahkan.

“Cuma dari pemahaman saya Fasal 10.2.2 dan 10.2.3 Perlembagaan Bersatu itu sebenarnya jelas cuma mungkin Fasal 10.2.3 itu boleh dijelaskan oleh mahkamah,” katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Azizuddin Bersatu hanya berdepan dengan risiko pengharaman jika membabitkan kecurangan atau manipulasi seperti yang berlaku pada Umno dulu.

Boleh bawa ke mahkamah

Katanya Umno diharamkan selepas ada sebilang orang yang bukan perwakilan dibenarkan mengundi semasa pemilihan parti.

Dalam krisis Bersatu, katanya, isu yang berlaku ialah Mahathir dan empat ahli parlimen lain memilih untuk duduk bersama blok pembangkang – atau crossing the floor – semasa sidang parlimen baru-baru ini.

“Kemudian banyaklah insiden yang menunjukkan ada penentangan lima orang tersebut terhadap kepimpinan dan keputusan parti,” katanya.

Crossing the floor merupakan istilah yang digunakan dalam Parlimen United Kingdom iaitu penetapan bahawa wakil kerajaan duduk di sebelah kanan speaker, manakala kumpulan pembangkang di bahagian kiri.

Jadi, pertukaran kedudukan seseorang wakil rakyat – sama ada dari kiri ke kanan atau kanan ke kiri – dilabel sebagai crossing the floor.

Azizuddin berkata langkah penyelesaian terbaik bagi krisis Bersatu sekarang ialah Mahathir membawa isu kesahihan pengguguran keanggotaannya ke mahkamah.

Bagaimanapun perlu diingat, Perlembagaan Bersatu juga menyatakan bahawa mana-mana anggota parti yang membawa sebarang pertikaian ke mahkamah akan tergugur keahlian mereka secara automatik.

“Saya tak nampak kalau ia dibawa ke mahkamah akan menyebabkan Bersatu diharamkan.

“Sebab isunya ialah status keahlian, bukan pemilihan. Kalau isu pemilihan boleh jadilah (diharamkan). Tetapi ini insiden keahlian,” katanya.

Semakan Malaysiakini terhadap Perlembagaan Bersatu mendapati, fasal 10.2.2 memang ada menyatakan alasan untuk keanggotaan seseorang tergugur, iaitu apabila individu terbabit membuat pengisytiharan keluar parti.

Manakala fasal 10.2.3 pula menyatakan ia terpakai sekiranya individu terbabit menyertai atau menjadi ahli mana-mana parti politik lain di negara ini.

Sementara itu, menurut Prof Dr Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia berkata, beliau menjangkakan krisis dalaman Bersatu akan berterusan.

“Peguam Tun (Mahathir) sudah merujuk kepada ROS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan) dan mahkamah. Jika berterusan, ia boleh memanjangkan pertembungan di antara dua kem dalam parti dan bagi Tun ini bukan baru kerana peristiwa 1987-88 Umno pasti akan dijadikan sebagai ‘nota kaki’.

“Bagi perdana menteri (Muhyiddin), beliau pernah digugurkan daripada Umno pada 2016 dan tahu implikasinya tetap bersedia membuat keputusan tidak popular ini kerana tidak boleh ada dua jurucakap atau kapten dalam satu-satu parti.

“Kedua-duanya berpegang kepada perlembagaan parti dan ROS perlu segera menghentikan pertelagahan dalaman parti yang telah menghasilkan dua perdana menteri dalam masa 24 bulan,” jelasnya kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, Sivamurugan berkata beliau tidak pasti sejauh mana krisis kepimpinan Bersatu akan membawa kepada pengharaman Bersatu.

“Saya tidak pasti sama ada ia akan meleret sehingga pengharaman parti kerana kepentingan peringkat akar umbi juga perlu diambil kira. Impaknya besar ke atas orang Melayu khususnya jika ia berlaku tanpa ada penghujungnya.

“Adakah salah satu pihak bersedia menerima apa sahaja keputusan yang dibuat oleh ROS atau mahkamah jika tidak berpihak kepada mereka?” soalnya.

“Jadi, rasanya elok ROS segera membuat kenyataan supaya ia tidak berpanjangan,” katanya.

Beri peluang betulkan keadaan

Bagi pengamal undang-undang pula, New Sin Yew, kemelut yang melanda Bersatu ketika ini memberi risiko kepada pembatalan pendaftarannya jika ia gagal ditangani dengan cermat.

“Ya, Bersatu berisiko dibatalkan pendaftarannya dengan apa yang berlaku ini. Jika sesuatu pertubuhan melanggar peraturannya sendiri maka ia adalah asas kepada pembatalan pendaftarannya di bawah Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966.

“Jika lima anggota parti itu bertindak bertentangan dengan dasar parti, jika ada dasar sedemikian, dengan tidak menyokong kerajaan PN maka ia adalah mencabuli tanggungjawab mereka di bawah Perkara 9.1.1 Perlembagaan Bersatu.

“Namun dalam keadaan deimikian, satu pendengaran disiplin perlu dilaksanakan terhadap mereka di bawah Perkara 23 Perlembagaan Bersatu yang memberikan mereka peluang untuk mempertahankan diri mereka,” katanya.

Mengikut Akta Pertubuhan 1966, sekiranya sesuatu pertubuhan didapati sengaja melanggar akta berkenaan, Peraturan-peraturan Pertubuhan 1984 atau undang-undang tubuh atau melanggar Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, di bawah Seksyen 13(1)(c)(iv) maka pendaftaran sesebuah pertubuhan itu akan dibatalkan.

New berkata anehnya pemecatan mereka tidak selaras dengan Perkara 23 dan ini mencabuli hak-hak mereka sebagai ahli di bawah Fasal 9.2.3 Perlembagaan Bersatu.

“Bagaimanapun perkara ini tidak berkadaran (dengan pemecatan atau pencabulan hak sebagai ahli) dan ROS perlu memberikan Bersatu peluang untuk membetulkan perkara ini,” katanya.

Merujuk kepada Fasal 9.2.3 Perlembagaan Bersatu ia menyatakan setiap ahli biasa atau ahli seumur hidup mempunyai hak membela diri terhadap sebarang pertuduhan pelanggaran disiplin parti mengikut proses dan tatacara disiplin menurut Fasal 23.

Fasal 23 Perlembagaan Bersatu pula menyatakan berkaitan disiplin dengan menyatakan bahawa semua ahli hendaklah cintakan parti dan patuh kepada perlembagaan, kod etika serta tatakelakuan ahli, mengikut perintah parti, menjalankan dasar parti, patuh dan menghormati keputusan parti termasuk Lembaga Disiplin dan Lembaga Rayuan, menjaga rahsia parti serta memelihara nama baik dan maruah parti.

Senada dengan New, peguam Nizam Bashir turut mempersoalkan sejauh mana kelima-lima ahli MPT Bersatu yang dilucutkan keahliannya itu melakukan kesalahan mengikut Fasal 10.2.2 dan 10.2.3 perlembagaan parti itu.

“Secara nyatanya mereka belum lagi berbuat demikian. Apa yang mereka lakukan adalah menyatakan pilihan tempat duduk mereka yang mungkin memberikan bayangan kepada undi mereka dalam isu-isu tertentu.

“Perlembagaan Bersatu – merujuk kepada Perkara 10 – tidak menyatakan apa-apa akibat daripada sikap berdiam diri ini.

“Surat penamatan keahlian kelihatannya seperti menyatakan tindakan itu sebagai menyeberang ke pihak lawan dan untuk makluman semua, ia biasanya berlaku menerusi dua cara.

“Pertama, apabila seorang ahli Parlimen meletak jawatan daripada partinya dan menyertai parti lain atau apabila seorang ahli Parlimen mengundi atau berkecuali daripada mengundi dan berlawanan dengan arahan yang dikeluarkan partinya.

“Malangnya, tiada satu pun daripada dua perkara ini benar-benar telah berlaku. Surat penamatan keahlian dikeluarkan tanpa sebab dan pendirian penyokong surat tersebut juga tiada asas.

“Pendek kata, lima MP Bersatu itu masih lagi anggota parti mereka,” tegasnya.

Mkini

Leave a Reply