Lahirnya ribuan ilmuan

Oleh Irfan Nazhan Mohd Nasri

AL-Jumhuriyyah al-Yamaniyah atau lebih dikenali dengan Republik Yaman adalah sebuah negara yang terletak di Jazirah Arab kawasan Asia Barat Daya.

Negara ini bersempadan dengan Arab Saudi sebelah utara, Laut Merah sebelah barat laut Arab dan Teluk Aden sebelah selatan dan Oman di timurnya.

Penduduk Yaman terkenal sebagai masyarakat yang ramah dan memiliki hati yang lembut. Bahkan penduduk Yaman berbondong-bondong memasuki agama Islam sejak awal risalah Islam sampai kepada mereka.



Rasulullah SAW pernah memuji kemuliaan penduduk Yaman yang mafhumnya bermaksud: “Telah datang orang-orang Yaman. Mereka mempunya hati yang sangat lembut. Keimanan itu ada pada orang Yaman, Fiqh itu ada pada orang Yaman dan Hikmah itu ada pada orang Yaman.”

Tarim merupakan sebuah kota di negeri Hadhramaut, Yaman yang melahirkan ribuan ilmuan Islam dan pendakwah yang menyebarkan Islam (Mazhab Imam Syafie dan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah) di seluruh pelosok dunia khususnya di Nusantara.

Bahkan, Wali Songo (Wali 9) yang terkenal sebagai antara pendakwah yang menyebarkan Islam di Nusantara pun asalnya dari Kota Tarim.

Kota Tarim adalah kota ilmu dan sunah Rasulullah yang sehingga kini masih mengekalkan corak pentarbiahan secara tradisional melalui madrasah yang dibina dan persekitaran yang unik dikelilingi binaan yang berusia ratusan tahun yang masih utuh sehingga kini.



Sistem tarbiah yang menekankan ilmu, amal, ikhlas, wara’ dan khauf ini menjadikan Kota Tarim dan sekitarnya menjadi tumpuan penuntut ilmu daripada negara luar khususnya Malaysia.

Setiap tempat dan negara mempunyai keistimewaannya sendiri. Bagi penulis, Kota Tarim mempunyai keunikan dan keistimewaan yang tersendiri.

Suasana keislaman dan penghayatan sunah Nabi lebih dirasai kerana masyarakat Tarim masih mengekalkan adat dan budaya berlandaskan syariah.

Tenang hati apabila berjalan di Kota Tarim kerana merasakan seolah-oleh hidup di kota zaman sahabat Rasulullah.



Makam para nabi juga banyak di Hadhramaut seperti Nabi Hud, Nabi Hadun, Nabi Hanzolah Bin Safuan, Nabi Soleh, Nabi Sarjis dan ramai lagi.

Disebutkan dalam kitab sejarah lebih 300 nabi Allah utuskan ke Yaman.

Sahabat Rasulullah juga pernah sampai ke Yaman khususnya di Kota Tarim untuk berdakwah.

Ada sekitar 70 sahabat Baginda yang pernah mengikuti Perang Badar dimakamkan di Tarim.



Kota Tarim mempunyai tiga tempat yang diberkati iaitu bukit-bukitnya, turbahnya iaitu makam ulama dan wali serta masjid-masjidnya.

Bahkan pada suatu masa dahulu Kota Tarim mempunyai hampir 365 masjid yang setiap masjid mempunyai kisahnya tersendiri dan tidak pernah kosong dengan jemaah yang hadir untuk menunaikan solat mahupun melaksanakan ibadah lain.

Kebanyakan masjidnya berusia 500 hingga 900 tahun. Maka, tidak kisah kota yang kecil ini penuh keberkatannya apatah lagi ia tempat tinggal ulama keturunan Rasulullah yang digelar Sadah Alawiyyin.

Seni bina dan ukiran di Kota Tarim amat unik kerana hanya menggunakan tanah liat, batu dan kayu untuk membina rumah atau bangunan.



Manakala yang lebih mengkagumkan lagi mereka mampu membina bangunan tinggi sehingga mencapai lima tingkat dan mampu untuk kekal dalam tempoh lama.

Sebuah masjid di Kota Tarim yang bernama Masjid Imam Umar Muhdhor diberi pengiktirafan sebagai menara paling tinggi di dunia sekitar 40 meter yang dibuat daripada tanah liat.

Kini berusia hampir 100 tahun lebih, tetapi masih utuh dan menjadi kebanggaan buat warga Kota Tarim.

Kota Tarim sentiasa terbuka buat masyarakat mahupun pelajar dari Malaysia untuk menziarahi dan belajar di kota 1001 auliya ini supaya dapat memahami lebih jelas amalan, adat dan budaya warga Kota Tarim.



Mana mungkin seseorang mampu untuk menilai dan memberi sesuatu hukum sekiranya belum pernah merasai dan memahami sepenuhnya apa yang ada di kota ini.

Suasana dan gaya hidup yang sederhana sebagaimana zaman sahabat terdahulu masih dapat dilihat sehingga sekarang.

Bahkan, pemakaian, adab dan akhlak serta adat mereka hampir semua sama di Malaysia.

Wanita Tarim amat menjaga pandangan dan diri mereka. Mereka bahkan sanggup mencari jalan yang jauh untuk ke suatu tempat semata-mata tidak mahu bertembung atau dilihat lelaki.

Sesungguhnya, tidak cukup ruang untuk penulis mengkisahkan Kota Tarim kerana keilmuannya, sejarahnya, adat budayanya dan ilmuannya begitu hebat.

Mudah-mudahan sedikit coretan perkongsian pengalaman di Kota Tarim memberi manfaat buat pembaca.

Bersyukurlah kita masyarakat Malaysia kerana agama, fahaman dan adat budaya kita kebanyakannya datang daripada pendakwah dari Kota Tarim ini yang meninggalkan keluarga, harta dan kerjaya demi menyebarkan dakwah ke dunia.

Penulis adalah Penasihat Persatuan Pelajar Malaysia Yaman (Permaya) Cawangan Hadhramaut.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker