SKMM: Kerosakan kabel dasar laut cetus gangguan minimum khidmat internet

Share

Pengguna internet di Malaysia berdepan gangguan minimum susulan kerosakan satu daripada kabel dasar laut Rangkaian Kabel Asia Pasifik 2 (APCN2), menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Kenyataan SKMM menyebut bahawa ia dimaklumkan oleh Telekom Malaysia Bhd (TM) berkaitan kerosakan satu daripada segmen kabel APCN2 yang menghubungkan Chongming di China dan Lantau di Hong Kong (segmen 3).

Kabel dasar laut APCN2 itu, yang menghubungkan Malaysia ke Singapura, Hong Kong dan Amerika Syarikat, merupakan antara 14 sistem kabel dasar laut yang disertai oleh TM di seluruh dunia.

Menurut SKMM, TM memberi jaminan bahawa segala langkah perlu akan diambil bagi mengurangkan kesan gangguan perkhidmatan kepada pengguna.

“Sementara pihak konsortium yang menyenggara APCN2 mengenal pasti lokasi kerosakan untuk kerja baik pulih, TM telah mengambil tindakan pantas yang sewajarnya bagi penyuraian aliran trafik yang terjejas melalui rangkaian kabel dasar laut lain miliknya agar impak ke atas pengguna dapat dikurangkan,” katanya.

Selain itu, TM mengaktifkan kapasiti tambahan melalui sistem kabel dasar laut Cahaya Malaysia yang menghubungkan trafik antarabangsa Malaysia ke Jepun.

“Pengguna Internet di Malaysia hanya mengalami gangguan minimum kerana terdapat jaringan kabel dasar laut lain yang boleh digunakan untuk menyalurkan trafik Internet, sekiranya diperlukan,” kata SKMM.

Menurut SKMM, gergasi global seperti Akamai Technologies, Amazon.com, Facebook Inc., Google Inc. dan Microsoft MSN serta beberapa lagi penyedia kandungan antarabangsa telah membuat sambungan ‘peering’ di Malaysia Internet Exchange Malaysia (MyIX) dan kebanyakan mereka menyediakan pelayan ‘cache’ di rangkaian penyedia perkhidmatan Internet tempatan.

“Oleh itu, kandungan-kandungan ini masih lagi boleh dicapai oleh pengguna internet tempatan tanpa gangguan,” katanya.

SKMM berkata ia akan terus memantau situasi ini bagi memastikan perkhidmatan Internet kepada pengguna tidak mengalami sebarang implikasi yang serius khususnya ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan sedang berlangsung.

“Kebergantungan masyarakat terhadap perkhidmatan jalur lebar pada ketika ini adalah amat penting terutamanya kepada sektor perniagaan, perkhidmatan malah pendidikan yang kini turut menggunakan kaedah pembelajaran dalam talian,” menurut SKMM.

Bernama

Leave a Reply