Zahid gesa impak besar PN dalam 100 hari

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan supaya kerajaan baru mencari penyelesaian segera berkaitan isu yang menjadi keutamaan rakyat dalam 100 hari pertama Perikatan Nasional mentadbir negara.

Seakan-akan konsep yang sama seperti Pakatan Harapan yang berjanji menunaikan 10 janji manifesto mereka dalam masa 100 hari sewaktu mentadbir kerajaan, Ahmad Zahid menekankan beberapa isu seperti Tabung Haji, Felda, kos sara hidup dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) harus diselesaikan segera.

“Dalam 100 hari pertama, Perikatan Nasional mesti memperlihatkan impak perubahan yang besar, rakyat mahu melihat perubahan segera.

“Kita tidak tertakluk kepada manifesto Pakatan Harapan, jadi lebih mudah kita fokuskan terlebih dahulu isu-isu dan penyelesaian yang menjadi keutamaan rakyat dan Perikatan Nasional.



“Rakyat mahu melihat Tabung Haji, Felda mesti dipulihkan segera. Nasib peneroka, generasi kedua Felda, petani, nelayan, penternak, peruncit dan peniaga kecil wajib diambil kepedulian segera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain daripada itu, beliau juga menggesa supaya keadilan dan pembelaan dapat diberikan kepada arwah Muhammad Adib Mohd Kassim yang meninggal dunia sewaktu rusuhan yang berlaku berhampiran Kuil Seafield Sri Maha Mariamman di Subang Jaya pada dua tahun lalu.

“Nasib pelajar-pelajar di universiti awam dan IPTS mesti dibela terutama peminjam-peminjam PTPTN.

“Semua pelajar sekolah rendah dan menengah terutamanya daripada keluarga B40 dan M40 jangan ditinggalkan kerana mereka turut terhimpit dan tersepit,” katanya.



Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker