Ujian Sifat Integriti, ‘Jangan Jadi Macam Lim Guan Eng’ – Shahrir

Menjelang penubuhan kerajaan baharu oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berbagai-bagai pihak juga menegaskan harus mereka yang bakal dilantik ke Jemaah Menteri bersih dari rasuah dan salah laku, aitu berintegriti.

Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad berkata pendekatan, ujian sifat integriti bagi kerajaan baharu ini ialah ‘jangan jadi macam Lim Guan Eng’.

“Kan mudah sangat tu. Mengapa ungkapan kata itu significant? Kerana Lim Guan Eng, walaupun dalam perbicaraan mahkamah, telah mengambil jawatan menteri. Pendakwaraya telah menarik balik kes terhadap Lim Guan Eng sebaik sahaja diumumkan Tommy Thomas dilantik sebagai Peguam Negara.

“Dari awal lagi Datuk Seri Najib, yang berhadapan dengan berpuluh tuduhan di mahkamah, sudah nyatakan ‘saya bukan Lim Guan Eng’.



“Tapi Pakatan Harapan (PH) masih berpura kerajaan PH ketika itu ada integriti. Lim Guan Eng lagi berpura-pura dia berintegriti,” katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebooknya, hari ini.

Sebagai contoh jelasnya, Guan Eng cuba menutup keburukan dirinya dengan menuduh dalam parlimen yang ‘BN rompak duit GST RM18 billion’ tapi akhirnya terkantoi apabila siasatan PAC dapati tuduhan itu tidak betul.

“Hanya kuasa Yang di Pertua Dewan Rakyat menyelamatkan Lim Guan Eng dari hukuman bercakap bohong dalam Dewan.

“Datuk Seri Zahid Hamidi juga telah berkata dia tidak mahu pegang jawatan dalam kerajaan baharu kerana dia juga mahu melalui proses perbicaraan mahkamah untuk membersihkan dirinya.”



Terangnya, tidak ada seorang pun dari kalangan ahli parlimen BN yang menuntut supaya dihentikan perbicaraan mahkamah terhadap diri mereka, mahupun Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (SUA BN/Bendahari UMNO) atau Datuk Seri Ahmad Maslan (MKT UMNO).

“Apalagi saya. Saya juga ingin melalui proses perundangan untuk membersihkan diri saya. Asasnya kerana integriti.

“Sungguhpun saya tahu keputusan membawa pemimpin-pemimpin UMNO ke mahkamah setelah jawatan Peguam Negara dan KP SPRM diisikan oleh mereka yang berat sebelah dan berdendam terhadap pemimpin-pemimpin UMNO dan UMNO itu sendiri.

“Sungguhpun saya faham sifat berat sebelah dan berdendam itu bukanlah sifat berintegriti, tapi kami rela melalui proses mahkamah, kerana kami bukan macam Lim Guan Eng!”



Tapi katanya, jangan kerajaan lepas pandang kepada kes-kes lain yang melibatkan pemimpin-pemimpin PH diberbagai-bagai peringkat, iaitu kes-kes yang sudah didiamkan begitu sahaja.

“Ada yang sudah dibawa ke mahkamah tapi macam tidak diteruskan. Ada juga dalam siasatan polis tapi tergantung.

“Kes Shafie Afdal, umpamanya. Kes terjumpa duit tunai RM51 juta di rumah seorang jurutera air, umpamanya.



“Kes laporan polis kerana tisu koyak, umpamanya. Kes bermesyuarat pukul 4 pagi, umpamanya. Bermacam lagi dalam tempoh 22 bulan yang lepas di bawah PH.”

Bidasnya lagi, kalau Lim Guan Eng boleh lepas, apatah lagi yang lain dalam PH?

“Itulah falsafah integriti PH. Kalau dah kepala boleh lepas, yang lain tentu ikut sekali.”

Dilaporkan, menurut kenyataan dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri, selepas mendapat perkenan daripada Seri Paduka, Muhyiddin dijangka mengumumkan senarai Jemaah Menteri hari ini, pada 5 petang, di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Pada 29 Feb, Al-Sultan Abdullah berkenan melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan.



Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan Muhyiddin itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, setelah Seri Paduka berpandangan Ahli Parlimen Pagoh itu mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat, selepas hampir seminggu krisis politik negara berlaku.

Muhyiddin mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri di hadapan Al-Sultan Abdullah di Istana Negara pada 1 Mac. – UMNO Online

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker