Boleh pakai kasut warna apa saja ke sekolah : Mahathir

Share


PM bayangkan dasar kasut hitam pelajar diubah

Dr Mahathir Mohamad berkata masih banyak maklumat yang sedang “dihadam” beliau di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) selepas memangku jawatan menteri berkenaan baru-baru ini.

Bagaimanapun perdana menteri memberitahu ada satu “keputusan” sudah dibuat beliau, iaitu mengenai warna kasut pelajar.

Ditanya mengenai tugasnya itu, perdana menteri memberitahu beliau mendengar taklimat panjang lebar di KPM semalam.

“Saya sekarang sedikit keliru sebab terlalu banyak fakta diberikan kepada saya, jadi sekarang saya sedang mengkajinya.

“Tapi satu perkara yang saya sudah putuskan ialah, kamu boleh pakai kasut coklat, kasut hitam, kasut putih, kasut kelabu… apa-apa kasut pun boleh,” katanya disambut ketawa pemimpin kanan Bersatu di Kuala Lumpur hari ini.

Bagaimanapun Mahathir kelihatan serius semasa membuat kenyataan tersebut.

Turut hadir, Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, dan timbalannya, Mukhriz Mahathir.

Isu warna kasut sekolah menjadi perhatian ramai – dengan sesetengahnya mengundang kritikan dan sendaan – apabila diputuskan menteri sebelum ini, Dr Maszlee Malik.

KPM menetapkan pelajar sekolah menggunakan kasut hitam mulai tahun depan. Sementara ia dikuatkuasakan, pelajar dibenarkan memakai kasut hitam atau putih.

Bagaimanapun dengan pengunduran Maszlee daripada KPM baru-baru ini, isu itu sekali lagi menjadi perhatian.

Mkini



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *