Naib ketua AMK gesa Hilman dipecat

Naib ketua AMK gesa Hilman dipecat sebelum lembutkan nada

Ketua Pemuda PKR (AMK) Thiban Subbramaniam menggesa tindakan tegas diambil terhadap timbalan ketua AMK, Hilman Idham.

Ini selepas Hilman malam tadi menegaskan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali akan tetap merasmikan kongres sayap pemuda itu, walaupun jemputan kepadanya telah dibatalkan.

Dalam reaksinya malam tadi, Thiban menggesa Hilman dipecat daripada parti.



“Saya dengan tegas mencadangkan supaya Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat untuk mengambil tindakan tegas dengan memecat keahlian Hilman,” katanya.

The Malay Mail juga melaporkan gesaan Thiban daripada kenyataan yang sama.

Pagi ini, bagaimanapun, naib ketua AMK itu menghantar satu lagi kenyataan, kali ini menggantikan perkataan “dipecat” pada tajuk kenyataan itu dengan “tindakan disiplin”.

Gesaan agar Hilman dipecat pada baris terakhir kenyataan itu juga telah dibuang.



Thiban berkata pendirian Hilman untuk meneruskan perasmian Kongres AMK dengan menjemput perasmi lain tanpa persetujuan mesyuarat Majlis Pimpinan AMK adalah jelas melanggar Peraturan Tetap AMK.

“Tindakan beliau memanggil mesyuarat berasingan tanpa persetujuan sah dari Majlis Pimpinan AMK juga adalah tindakan melampau dan tidak bertanggungjawab.

“Kegagalan beliau untuk menghadiri mesyuarat bulanan mencerminkan beliau seorang pemimpin yang tidak berdisiplin walaupun menang pemilihan parti.

Mengheret parti untuk bertelingkah ke kancah media adalah tindakan yang sengaja dibuat untuk memburukkan imej parti sedangkan terdapat saluran rasmi.



Pertikaian dengan Hilman merupakan manifestasi permusuhan yang lebih besar antara Azmin dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Krisis itu berlanjutan apabila Ketua AMK, Akmal Nasir menjemput penasihat PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail dan bukan Azmin untuk merasmikan kongres tersebut.

Jemputan dihantar kepada Azmin sebelum ini turut dibatalkan.

Tindakan itu ditentang dalam satu kenyataan yang ditandatangani oleh 21 daripada 25 kepimpinan pusat AMK, termasuk Hilman.



Malam tadi, Hilman mengadakan pertemuan dengan ketua AMK cabang di Shah Alam, di mana beliau mendapat sokongan 132 daripada 196 ketua AMK cabang agar Azmin merasmikan kongres Pemuda PKR itu.

Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker