Utusan rekod peristiwa penting perjalanan kemerdekaan

Perjuangan bagi kemerdekaan Tanah Melayu daripada penjajahan British (1826-1957), yang diselang-seli dengan penjajahan oleh Jepun (1941-1942), telah dikisahkan oleh pelbagai pihak, tetapi tidak banyak diceritakan daripada perspektif wartawan.

Peranan penting dimainkan wartawan dalam perjuangan bagi kemerdekaan terbukti menerusi komitmen pelbagai akhbar prakemerdekaan seperti Utusan Melayu (kini Utusan Malaysia), akhbar harian berbahasa Melayu tertua yang masih bertahan sehingga kini di negara ini.

Utusan Melayu (ditubuhkan pada 1939) pada awalnya dicetak dalam Jawi sebelum dalam Rumi pada 1967. Sementara akhbar prakemerdekaan yang lain gulung tikar satu demi satu disebabkan kemerosotan jumlah edaran dan hasil iklan, Utusan Melayu terus menerajui untuk membakar semangat bagi kemerdekaan dan kemudiannya patriotisme dan nasionalisme bersama-sama pesaingnya iaitu akhbar harian berbahasa Melayu, Berita Harian (dilahirkan pada 1957).

Tatkala askar dan polis mempertaruhkan nyawa mereka di barisan hadapan, wartawan prakemerdekaan Utusan memberikan suara kepada rakyat dan memperkasakan mereka dalam perjuangan itu, dan menyemarakkan semangat juang bagi kemerdekaan menerusi akhbarnya,



Utusan telah memperlihatkan keupayaan mengagumkan untuk kelangsungan hidup dan mencetuskan perubahan tatkala ia mengisahkan peristiwa dana sejarah negara sejak 80 tahun lepas, semua itu atas kesetiaan para wartawannya, serta sokongan daripada pelbagai pihak, khususnya pembaca setianya.

Akhbar itu diwujudkan oleh Yusof Ishak, yang kemudiannya menjadi Presiden Singapura yang pertama dan Abdul Rahim Kajai, kemudiannya dikenali sebagai Bapa Kewartawanan Melayu, dengan tujuan utama berjuang untuk kemerdekaan.

Disebabkan pandangannya yang kritis, Utusan telah digantung semasa penjajahan Jepun di Tanah Melayu dan Singapura, tetapi ia berjaya mengharungi ujian masa sehingga ke hari ini.

Mengimbas semula zaman awal Utusan, wartawan veteran, Ahmad Subki Abdul Latiff, 79, berbangga bahawa akhbar itu bebas daripada sebarang pengaruh politik pada ketika itu.



“Sejarah Utusan tidak seperti dibayangkan oleh banyak orang. Mereka perjuangkan apa yang mereka fikir adalah betul untuk negara, malah sehingga ke tahap ramai yang kehilangan kerja kerana mereka tidak memihak kepada parti pemerintah pada ketika itu,” katanya semasa ditemu bual Bernama.

Mengenang kembali sewaktu beliau mula menjadi wartawan, katanya terdapat banyak tokoh terkenal dalam dunia kewartawanan dan politik seperti Ishak Muhamad (juga dikenali sebagai Pak Sako), Othman Wok, Tajuddin Kahar, dan banyak lagi yang memulakan kerjaya mereka sebagai penulis dengan Utusan.

“Objektif utama suara-suara lantang ini adalah untuk kemerdekaan. Tiada lain. Ia hanya itu pada waktu itu,” katanya,

Bagi dirinya, Ahmad Subki berkata, satu daripada kenangan indahnya dengan akhbar berbahasa Melayu itu pada awalnya adalah selepas Tanah Melayu bergabung dengan Sabah dan Sarawak pada 1963 untuk membentuk Malaysia.



“Pada waktu itu, kami tahu wujud masalah semasa perbincangan mengenai pembentukan itu. Tetapi, sebenarnya, pembentukan menjadi kenyataan berdasarkan janji dibuat seorang tokoh yang sanggup berbuat apa sahaja demi menguatkan negara,” katanya.

Tokoh tersebut ialah Tun Abdul Razak Hussein yang mengikrarkan sokongannya kepada Bapa Kemerdekaan negara, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj (Perdana Menteri pertama Malaysia dari 1957-1970).

“Saya masih ingat ungkapannya sehingga hari ini. Tun Razak, Perdana Menteri Kedua Malaysia (1970-1976), ‘Kita telah sampai sejauh ini, oleh itu kita tidak akan gagal’,” kata Subki.

Beliau juga berkata, sebahagian lagi sejarah yang ramai tidak tahu bahawa Lee Kuan Yew, Perdana Menteri pertama Singapura (1959-1990), merupakan penasihat undang-undang akhbar itu dari 1952 hingga 1959.



“Lee tahu perkembangan luar dan dalam Utusan dan kerap bertemu dengan ahli lembaga untuk berbincang mengenai pembentukan Parti Tindakan Rakyat (PAP). Bagaimanapun, persahabatan itu akhirnya bertukar menjadi pahit,” katanya.

Walaupun beliau tiada lagi kaitan dengan akhbar itu selepas meninggalkan pasukan pengarang, Subki berkata, beliau tetap berasa sedih apabila mendapat berita tentang masalah yang dihadapi akhbar berbahasa Melayu itu ketika ini.

“Saya adalah antara yang pertama berkhidmat dengan Utusan. Saya dilantik sebagai wartawan Utusan pada hari Malaysia dibentuk. Saya masih sayangkan Utusan kerana di situ tempat saya menyara hidup dan mengasah bakat saya sebagai penulis,” katanya semasa beliau menzahirkan harapannya yang Utusan mampu bangkit dan gah semula..

Akhbar harian berbahasa Melayu itu merupakan syarikat media yang pertama disenaraikan di Papan Utama Bursa Saham Kuala Lumpur pada 1994. Harga tertinggi dicatatkan sahamnya adalah RM7.66 pada 31 Mac, 2000.



Bagaimanapun, syarikat itu berdepan masalah dan prestasinya merosot mulai 2012, dan pada 30 Jun, 2019, kerugian terkumpul Utusan berjumlah RM261.61 juta.

Syarikat itu jatuh ke kategori Nota Amalan 17 pada Ogos lepas apabila ia gagal melunaskan bayaran prinsipal dan keuntungan kepada Bank Muamalat Malaysia Bhd. dan Maybank Islamic Bhd. berjumlah RM1.18 juta.

Urus niaga sekuriti Utusan Melayu (M) Bhd. digantung berkuat kuasa Rabu, 28 Ogos dan sahamnya akan dinyahsenarai pada 30 Ogos, sehari sebelum negara menyambut Hari Merdeka ke-62.

Harga urus niaga terakhirnya adalah 5.5 sen pada Rabu.



Apa yang berlaku pada Utusan mencerminkan apa yang berlaku dalam industri media bukan sahaja di Malaysia tetapi juga peringkat global, walaupun syarikat itu antara yang terawal melaksanakan inisiatif pendigitalan.

Pada 1997, kuasa media itu menjadi akhbar dalam talian yang pertama di Malaysia, menerusi kerjasamanya dengan Telekom Malaysia, yang membolehkan pelanggan berbayar membaca replika sebenar akhbar kumpulan itu termasuk Utusan Malaysia.

Bagaimanapun, usaha pendigitalan itu menjadi tidak lagi signifikan berikutan isi kandungannya tidak lagi disukai oleh banyak rakyat Malaysia sejak sebelum 2012, disebalik sejarah akhbar itu yang panjang.

Oleh itu, pada saat ini mari kita imbas kembali di mana kita berada dan memahami sejarah negara kita, sepertimana kata ahli falsafah keturunan Sepanyol-Amerika George Santayana: “Mereka yang tidak ingat akan masa lampau akan disumpah untuk mengulanginya.”

Sebelum kita mencapai kemerdekaan lebih enam dekad lepas, apa yang difikirkan dalam minda setiap orang adalah bagaimana Tanah Melayu boleh mendapat kebebasannya.

Tetapi pada waktu ini, kita berdepan cabaran berbeza untuk mengekalkan kemerdekaan.

Oleh itu, dalam semangat Merdeka, mari kita ketepikan perbezaan kita, sama ada bangsa atau politik dan perlu ingat apa yang membuatkan kita semua rakyat Malaysia berada pada asas yang telah digariskan oleh nenek moyang kita dan apa yang telah mereka perjuangkan. – BERNAMA

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker