Jika benar Mahathir mahu penyatuan Melayu, jangan ada hubungan dengan Dap.

 

‘Jika Tun serius, elok berbincang’

MEMANG kita akui walaupun orang Melayu merupakan penduduk majoriti, dari segi komposisi Melayu dan bumiputera ia merangkumi kira-kira 70% penduduk di negara ini. Daripada jumlah itu, lebih kurang 65 % beragama Islam.



Tetapi sekarang kerana kita berpecah-pecah, akhirnya negara dikuasai pihak lain seperti DAP. Walaupun di dalam pentadbiran hari ini diketuai orang Melayu tetapi beberapa jawatan yang kementeriannya sangat kritikal termasuklah Kementerian Kewangan berada di tangan DAP.

Banyak perkara yang diumumkan kerajaan kadang-kadang nampak tidak berpihak kepada Melayu Islam terutama apabila kerajaan semakin liberal dalam soal beberapa isu mengenai agama dan sebagainya.

Jadi, memang betul suatu pandangan tepat bahawa Melayu akan lemah kalau kita berpecah. Sebab itulah UMNO selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) 9 Mei 2018 mengadakan hubungan dengan Pas di bawah penyatuan ummah.

Dan hari ini semenjak penyatuan ummah bermula, tampak hubungan itu di peringkat akar umbi kini semakin kukuh antara Melayu Islam di negara ini.



Penyatuan ummah ini suatu gambaran jelas bahawa UMNO-Pas telahpun mendahului dari segi gerakan menyatupadukan Melayu.

Kalau kita lihat dalam PRU-14, undi orang Melayu untuk UMNO dan Pas adalah sebanyak 75 % daripada jumlah keseluruhan orang Melayu yang mengundi.

Sebanyak 10 % untuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan 15 % lagi dikongsi bersama PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah). Jadi, 75 % pengundi Melayu yang sokong ini apabila digabungkan, menunjukkan kekuatan Melayu itu sudah pun dirintis oleh UMNO-Pas.

Jadi, Dr. Mahathir apabila bercakap soal penyatuan Melayu itu, kita berterima kasihlah atas kesedaran beliau. Tetapi yang sebenarnya UMNO-Pas telah pun memulakan.



Bagaimanapun apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad menyatakan supaya bubarkan UMNO masuk ke Bersatu, ia agak mustahil untuk direalisasikan.


TIGA SYARAT

Pertama, sebabnya kerana UMNO mempunyai tiga juta ahli. Sedangkan Bersatu pula hanya memiliki antara 300,000 dan 400,000 ahli. Dari segi logik, tidak munasabah sebuah parti yang begitu kuat membubarkan partinya untuk masuk ke dalam Bersatu.

UMNO ditubuhkan 73 tahun lalu, pada 1946. Parti Bersatu pula pada 8 September 2016 sebelum PRU-14. Dari segi sokongan Melayu semasa PRU lepas, sebanyak 46 % menyokong UMNO. Jadi, UMNO parti besar, sebuah parti asal orang Melayu.



Bersatu pula parti serpihan UMNO. Pemimpin mereka datang dari UMNO. Jadi, tidak mungkin parti asal dibubarkan untuk masuk parti serpihan.

Keduanya, kalau Dr. Mahathir benar-benar ikhlas dan jujur untuk penyatuan Melayu, saya harap beliau mengisytiharkan terus bahawa beliau menolak parti perkauman sempit DAP.

Beliau kena isytiharlah demi penyatuan Melayu bahawa “saya tolak DAP keluar”. Beliau kena buktikan benar-benar ikhlas dari segi penyatuan Melayu.

Dan ketiganya, kita telah wujudkan gabungan antara UMNO-Pas dari segi penyatuan ummah. Dr. Mahathir boleh isytihar Parti Bersatu berminat sertai bersama kita. Contohnya, tidak perlu bubar Pas apabila bekerjasama dengan UMNO.



Apabila UMNO bekerjasama dengan Pas, tidak ada pula tuntutan Pas harus dibubarkan untuk masuk UMNO atau sebaliknya. Tidak ada, tetapi kita UMNO-Pas tetap bekerjasama.

Perpecahan Melayu sebenarnya berpunca kerana kepentingan peribadi. Penubuhan parti-parti baharu berdasarkan kepada isu yang bukan isu rakyatpun, tetapi melibatkan individu.Contohnya, PKR ditubuhkan atas isu individu kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bersetuju dengan Dr. Mahathir.

Parti Bersatu ditubuhkan kerana tidak suka kepada Datuk Seri Najib Tun Razak. Dr. Mahathir tubuhkan partinya untuk tumbangkan Najib. Tidak ada matlamat yang asalnya untuk kepentingan Melayu.

PARTI SERPIHAN UMNO



Punca dua parti besar serpihan UMNO ini (PKR dan Bersatu) tertubuh kesemuanya berkisarkan soal individu dan sebagainya. Jadi, Dr. Mahathir pun mengulangi perkara itu dikatakan atas sebab-sebab peribadi dan kerana individu.

Apabila beliau membuat kenyataan terbuka seperti itu baru-baru ini, kita memang terkejut. Namun saya percaya untuk perpaduan orang Melayu seluruhnya, kita boleh duduk berbincang dengan Dr. Mahathir.

Tetapi UMNO-Pas secara terbuka dan tegas menolak DAP. Macam-macam yang telah kita cakap menentang DAP. Saya berharap Dr. Mahathir pun isytihar bahawa beliau menentang DAP, barulah kita UMNO-Pas melihat Dr. Mahathir memang serius mengenai perpaduan Melayu.

Dr. Mahathir pun dari dulu memang anti DAP pun. Dari dulu beliau bercakap soal Melayu dengan setiap kali Perhimpunan Agung UMNO beliau bercakap soal Melayu sehingga menangis kerana gagal menyatupadukan Melayu.

Saya percaya demi masa depan orang Melayu selepas PRU-14 pun, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sendiri pun telah berjumpa dengan Dr. Mahathir secara empat mata.

Ia disusuli oleh saya yang menyertai Presiden, Timbalan Presiden dan dua naib presiden lain juga bertemu Dr. Mahathir bercakap soal penyatuan Melayu selain mengetepikan perselisihan pandangan demi kepentingan Islam dan Melayu.

Tetapi waktu itu Dr. Mahathir tidak boleh terima kerana mungkin melihat UMNO ini sebagai musuh nombor satu agaknya. Mungkin kini beliau telah berubah fikiran dan kita sambut baik perubahan sikap beliau.

Dan untuk berjumpa sekali lagi, kita tidak ada masalah. Tetapi saya perlu ingatkan di sini bahawa UMNO sebuah parti besar yang mempunyai peraturan dan perlembagaannya sendiri.Semua keputusan mesti dibuat oleh Majlis Tertinggi (MT).

Malah persetujuan perlu diperoleh daripada 191 bahagian UMNO seluruh negara. Kita di UMNO Pusat tidak boleh buat keputusan secara sendiri.

Dan saya lebih cenderung kalau perjumpaan dibuat secara rasmi antara parti dengan parti untuk merealisasikan perpaduan dan penyatuan ummah ini.

Walau bagaimanapun sebelum UMNO bersetuju untuk mengadakan rundingan selain kelulusan bahagian dan mesyuarat MT, kita juga akan mendapatkan persetujuan Pas sebagai rakan penyatuan ummah kita.

Dan sekali lagi ditegaskan, waima apapun kita ahli-ahli UMNO tidak akan membubarkan UMNO dan masuk Bersatu.

Kita akan berhabis-habisan untuk pertahankan UMNO jika ada sebarang usaha untuk membubarkan UMNO.

ISMAIL SABRI YAAKOB
DATUK SERI ISMAIL SABRI YAAKOB ialah Naib Presiden UMNO merangkap Ketua Pembangkang.

Utusan

‘Harapan Melayu nak bersatu tapi Bersatu nak hancurkan Umno’

 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker