Najib Bidas ‘Kit Siang Anak Beranak’ Langgar SOP PKP

Bekas perdana menteri Najib Razak mempersoalkan sama ada majlis sambutan hari lahir yang diadakan di rumah adalah salah dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 susulan pelaksanaan perintah kawalan pegerakan (PKP) yang berkuatkuasa di beberapa negeri ataupun tidak.

Najib menerusi hantaran di akaun Facebook, merujuk dan berkongsi gambar pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang yang menyambut hari kelahiran yang ke-80 bersama lapan ahli keluarganya, termasuk bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng.

“Mengikut SOP terbaru perintah kawalan pergerakan (PKP), menyambut hari kelahiran bersama ahli keluarga yang tinggal berasingan masih jelas melanggar peraturan.

“Namun kelonggaran baru diumum minggu lepas ialah tiada lagi had untuk jumlah penumpang dalam sebuah kereta atau had bagi jumlah pelanggan yang duduk semeja dalam restoran.

“Maka ia tidak salah pula untuk semua ahli keluarga Uncle Kit Siang naik satu MPV untuk meraikan birthday di restoran.

“Adakah ini bermaksud birthday di rumah salah tapi birthday di restoran tak salah?” soal Najib.

Berdasarkan hantaran Najib, tidak jelas bila sambutan hari jadi tersebut diadakan, namun terdapat sekurang-kurangnya empat ahli keluarga lain yang meraikan majlis tersebut menerusi aplikasi video dalam talian.

Pada 18 Feb lalu, kerajaan melonggarkan SOP PKP dengan membenarkan jumlah penumpang mengikut kapasiti kereta dan jumlah yang boleh makan di restoran selagi ada penjarakan fizikal.

Pada 14 Februari lalu, Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa menerima kritikan hebat selepas didakwa melanggar SOP kerana duduk bersama beberapa individu sambil menikmati jamuan tanpa penjarakan fizikal di sebuah majlis di Kuala Lumpur.

Untuk rekod, ketika Annuar didakwa melanggar SOP, kerajaan masih belum membenarkan orang ramai makan di meja restoran melebihi dua orang.

Susulan kes Annuar, Ketua Polis Kuala Lumpur Saiful Azly Kamaruddin berkata, bahawa kertas siasatan mengenai hal tersebut telah diserahkan ke ibu pejabat polis Bukit Aman untuk arahan selanjutnya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker