Tok Pa gesa siasatan ‘rompak’ kutipan GST didedah pada umum

Pengerusi Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed menggesa agar hasil siasatan dalaman berhubung dakwaan Menteri Kewangan Lim Guan Eng bahawa kerajaan BN telah ‘merompak’ bayaran balik GST dikemukakan kepada umum.

Hasil siasatan itu juga, tambahnya, wajar dirujuk kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

“Selaku kerajaan bertanggungjawab, hasil siasatan dalaman ini perlu dikemukakan kepada umum.

“Dalam semangat ketelusan dan reformasi yang dijanjikan oleh kerajaan dan untuk berlaku adil kepada semua pihak, perkara ini kemudiannya wajar dirujuk kepada PAC,” katanya.

Tambah Mustapa dalam kenyataan sama, dakwaan ‘rompakan’ berkenaan serius dan mencemarkan imej kerajaan lama dan penjawat awam.

“Tuduhan ini adalah amat serius kerana ‘rompakan’ bermakna wujudnya salah guna kuasa dan penyelewengan yang terancang.

“Oleh kerana imej kerajaan terdahulu dan penjawat amam telah tercemar, di samping ia melibatkan kepentingan awam, saya berpendapat siasatan dalaman harus dimulakan dengan segera dan diberi tempoh satu minggu untuk disiapkan,” katanya.

Pada 7 Ogos lalu, ketika sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Cukai Jualan 2018 di Dewan Rakyat, Lim mendedahkan bahawa bayaran balik GST yang seharusnya dibuat dalam dua minggu tertangguh sehingga dua tahun.

Lim juga menyifatkan perkara itu sebagai “perompakan serius” oleh pentadbiran BN yang menjejaskan aliran tunai pelbagai perniagaan dan seterusnya menyebabkan kenaikan harga.

Pada sesi parlimen 7 Ogos berkenaan Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin sebelumnya mencadangkan agar kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) menambah baik sistem GST dan bukan menggantikannya dengan SST.

Susulan itu, Lim kemudian bertanya sama ada Khairy maklum punca di sebalik penangguhan bayaran balik GST. Khairy berkata ia kerana pertikaian kastam, yang kemudian dibalas Lim: “Adakah itu sebab yang diberitahu kepada anda? Saya terkejut dengan alasan Rembau, jika anda tidak faham mengapa bayaran balik GST tidak dibuat”.

Lim kemudian berjanji mengemukakan bukti keesokan harinya (8 Ogos) berhubung dakwaannya selepas digesa Khairy.

Keesokannya, pada sesi parlimen 8 Ogos, Lim mendedahkan bahawa RM18 bilion kurang dalam tabung bayaran balik GST dan mendakwa pentadbiran terdahulu menyalahgunakan wang tersebut.

Lim berkata, jumlah berkenaan berdasarkan audit dalaman dan pemeriksaan jabatan kastam.

Melalui kenyataan di Twitter hari ini, Khairy memaklumkan bahawa beliau akan membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan berkenaan ke atas bekas pegawai tinggi Kementerian Kewangan ketika dakwaan itu berlaku.

Mkini

One thought on “Tok Pa gesa siasatan ‘rompak’ kutipan GST didedah pada umum

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.