Cara mengenali orang fasik

Cara mengenali orang fasik

“Wahai orang yang beriman, jika seseorang yang fasik datang kepadamu membawa suatu berita, maka telitilah (tabayunlah) kebenarannya agar kamu tidak mencelakakan sesuatu kaum kerana kebodohan yang akhirnya kamu menyesali perbuatan mu.” (al-Hujurat: 6)

Ayat ini merupakan satu peringatan yang sangat berat dari Allah S.W.T. kepada orang beriman agar bersikap tabayun dan tidak sewenag-wenangnya menerima segala berita terutama dari orang fasik.

Sebab utama mengapa ayat enam diturunkan kerana seorang lelaki yang bernama Harith dari Bani Mustaliq telah berjaya diislamkan oleh Baginda s.a.w. Kemudian Baginda menitipkan arahan kepadanya agar dapat dikeluarkan zakat untuk menyucikan harta dan jiwanya.

Pun begitu dia meminta kepada Baginda s.a.w. supaya ditangguhkan dahulu bayaran zakatnya kerana dia ingin mengajak kaumnya kepada Islam dan mengumpulkan zakat dari kaumnya.

“Wahai Nabi Allah, aku akan kumpulkan zakat dari bahagianku dan kaumku untuk mu. Suruhlah di kalangan sahabat datang mengambilnya” ujar Harith.

Sampai satu ketika Harith tertunggu-tunggu, namun masih tiada seorang sahabat pun yang datang bertemunya. Akhirnya dia berkata pada kaumnya,

“Mungkin ada sesuatu yang berlaku hingga tiada yang datang mengutip zakat, atau mungkin juga Baginda s.a.w. berasa murka pada kita. Jadi elok kita semua pergi berjumpa dengan Baginda s.a.w.”

Sewaktu dalam perjalanan menuju ke kota Madinah, kumpulan Harith telah bertembung dengan segerombolan askar yang sebenarnya diutus oleh Baginda s.a.w. untuk memerangi Bani Mustaliq kerana merasakan mereka mungkir janji dan tidak mahu membayar zakat.

Sedangkan hakikat yang sebenarnya adalah, Baginda s.a.w. telah mengutus seorang sahabat iaitu al-Walid ibnu Utbah untuk pergi mengutip zakat. Namun demikian, dipertengahan jalan Walid telah berpatah balik kerana sebelum memeluk Islam, Walid pernah bermusuh dengan Bani Mustaliq.

Justeru itu dia berasa takut seandainya dia teruskan juga perjalanan, maka dia mungkin akan dibunuh oleh Bani Mustaliq.

Khilafnya tindakan al-Walid apabila dia kembali bertemu Baginda s.a.w. dia memberi alasan pendustaan bahawa Bani Mustaliq enggan mengeluarkan zakat dan mengancam untuk membunuhnya.

Percaya dengan perkhabaran al-Walid, Baginda s.a.w. mengarahkan segerombolan askar memerangi Bani Mustaliq. Sedangkan al-Walid langsung tidak bertemu dengan Harith dan Bani Mustaliq.

Mujurlah peperangan sesama muslim tidak berlaku kerana adanya sikap tabayun antara mereka, sehingga mendedahkan sikap sebenar al-Walid. Dari sini kita tahu sebenarnya perkhabaran yang tidak benar boleh mengundang malapetaka yang besar, bukan sahaja terhadap agama bahkan meliputi masyarakat dan negara.

Bayangkan jika tiadanya tindakan tabayun ketika itu, sudah pasti mereka sesama Islam akan berperang dan bermusuh.

Damaikan saudaramu

Dalam ayat sembilan seterusnya pula Allah S.W.T. turut memberi peringatan iaitu

“Dan apabila dua golongan orang mukmin berperang maka damaikanlah antara keduanya.”

Peringatan Allah ini supaya antara mereka tidak ada yang rugi sebagaimana kata pepatah yang kalah jadi abu dan yang menang jadi arang.

Sebagai masyarakat yang prihatin dan bertanggungjawab, mereka perlu kepada islah iaitu mencari jalan perdamaian dan bukan bertindak sebagai api dalam sekam yang akan menghancurkan umat Islam khususnya.

Istilah fasik yang disebut pada ayat enam adalah orang yang mempunyai kemampuan untuk berdusta dalam percakapan atau perbuatan. Dan dalam kisah tentang al-Walid, dia merupakan seorang yang mempunyai kedudukan sebagai sahabat Baginda s.a.w.

Jadi persoalannya adakah sahabat juga berdusta dan diragui keadilannya?

Dalam hal ini kita perlu maklum, sahabat ini semuanya adalah adil, kerana itu kita hanya boleh kata sebenarnya ramai kalangan sahabat yang ditegur atas khilaf mereka tidak lain hanya untuk menjadi pedoman kepada kita juga.

Apabila menyentuh tentang fasik, sebenarnya kita boleh mengenali sama ada seseorang itu fasik atau tidak berdasarkan kepada ciri-ciri yang ada pada mereka.

Siapakah si fasik?

Sebuah hadis dari Baginda s.a.w. sudah cukup menjadi rujukan tentang ciri orang fasik iaitu

“Cukuplah seseorang dianggap pendusta ketika dia menceritakan atau menyebar setiap apa yang dia dengar” (HR Muslim)

Imam an-Nawawi dalam syarahnya tentang hadis ini menyatakan ia adalah peringatan agar tidak menyampaikan apa sahaja yang didengarnya. Lazimnya berita itu ada yang benar dan ada yang dusta.

Oleh itu apabila ia membicarakan semua yang didengarnya maka sungguh dia telah berdusta kerana menyampaikan apa yang sebenarnya tidak ada.

Bagi Imam Malik pula yang dinukil dari Muntahal Amani bi Fawa’id Mustholahil Hadis lil Muhaddis al-Albani menyatakan, ketahuilah sesungguhnya seseorang tidak akan selamat jika dia menceritakan setiap yang didengarnya. Dan dia tidak layak menjadi seorang imam (yang menjadi ikutan), sedangkan dia selalu menceritakan setiap yang didengarnya.

Oleh itu seseorang dianggap pendusta apabila sampai berita yang ia dengar dan tidak jelas lagi benar atau tidak, tetapi ia sudah menyebarkannya. Point utama yang perlu difahami dengan sejelas-jelasnya sebagai seorang mukmin adalah, jangan sesekali menyebarkan sesuatu berita kecuali sudah terlebih dahulu menyelidikinya (bertabayun) secara menyeluruh.

Dan inilah antara perkara yang sangat penting dan utama yang ditumpukan dalam syariat Islam. Supaya tidak timbul isu penganiayaan atau kezaliman kepada satu pihak sehingga menimbulkan persepsi yang buruk.

Apalagi ketika ini kita sedang menghadapi bahang pilihanraya, sudah tentu pelbagai cerita dan berita yang sedang disebar luaskan terutama di media sosial untuk menyerang parti lawan masing-masing. Malah, maklumat-maklumat yang disebar luaskan itu pula lebih banyak mengandungi unsur-unsur fitnah, aib dan keburukan semata-mata untuk menghancurkan musus-musuh mereka.

Oleh itu sebagai orang yang beriman, jangan sesekali terpengaruh dan ingatlah amaran Allah sebagaimana yang disebut di atas. Dan sebagai orang Islam jauhkanlah diri dari menjadi orang yang fasik. Wallahu a’lam Utv

Cara mengenali orang fasik

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker