Arnab Perap Bambam Frozen Semakin Popular Di Kawasan Utara

SEBERANG PERAI – Seorang bekas pekerja kilang kini boleh berbangga apabila projek ternakan arnabnya yang baru setahun jagung semakin mendapat tempat di pasaran utara tanah air terutama Pulau Pinang.

Muhammad Fadhil Mohamad, 28, berkata, pengalaman me­nimba ilmu mengenai selok belok penternakan arnab hingga ke Kelantan serta Selangor dan juga dengan beberapa profesional lain berbaloi kerana jumlah binatang yang diternaknya kini bertambah lebih 200 ekor.

“Buat permulaan, saya hanya membela 10 ekor arnab baka New Zealand White selepas menyiap­kan kandangnya di belakang rumah dengan menggunakan mo­dal sendiri yang berjumlah hampir RM10,000 pada pertengahan Februari lalu.



“Kini dalam beberapa bulan sahaja, ia telah membiak dengan sihat dan mampu menjualnya di pasaran dalam bentuk arnab perap,” katanya ketika ditemui di Paya Keladi, Kepala Batas di sini baru-baru ini.

Muhammad Fadhil menjelaskan, arnab perap bersama sos segera dijual di bawah jenama Bambam Frozen.
Harga jualannya bagi isi arnab seberat 500 gram ialah RM30.

Menurut beliau, produk tersebut dipasarkan di sekitar Pulau Pinang dan selatan Kedah de­ngan sokongan daripada 11 ejen jualan.

“Secara purata, saya mampu menghasilkan kira-kira 50 paket arnab perap sehari dan jumlah tersebut bergantung kepada permintaan semasa.



“Dari segi jualan pula, paling tinggi yang pernah saya capai setakat ini sebanyak 30 paket dalam masa tiga hari,” katanya yang turut menyembelih sendiri arnab-arnabnya selain menggaji pekerja sambilan jika menerima permintaan yang tinggi daripada pelanggan.

Jelas Muhammad Fadhil, kebiasaannya, arnab akan mencapai tempoh matang dalam masa tiga bulan atau apabila beratnya telah mencecah tiga kilogram sebelum boleh disembelih.

“Saya bersyukur kerana bidang perniagaan yang dipilih tidak melibatkan kos yang terlalu tinggi selain arnab juga cepat membiak dan tidak sensitif dengan perubahan cuaca dan persekitaran,” katanya.



Menjawab soalan berkaitan wabak Covid-19 memberi kesan kepada operasi perniagaannya, Muhammad Fadhil menerangkan, kekangan utamanya kini adalah untuk mendapatkan bekalan makanan dedak untuk arnab-arnabnya.

Tambah beliau, seekor arnab secara puratanya memerlukan makanan sehingga 100 gram sehari dan beliau perlu menyediakan sehingga lebih 500 kilogram dedak untuk sebulan.

Mengulas lanjut, beliau berharap dapat memperkenalkan produk baharu seperti sate ar­nab sejuk beku pada masa depan.-K’Online

Rezeki PKP, Memang Terbaik Dari Ladang



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker