Bukit Persekutuan mula kena gondol

Bukit Persekutuan mula kena gondol

Bukit Persekutuan yang sepatutnya menjadi ‘nadi hijau’ bagi ibu kota kini berdepan ancaman dengan beberapa projek pembangunan dan penerokaan sedang dilakukan, termasuk di kawasan puncak bukit.

Kawasan hutan yang berkeluasan 74 hektar itu amat penting bukan sahaja berperanan sebagai ‘penyelamat’ ibu kota dari risiko pulau haba, namun turut menempatkan 113 banglo lama, termasuk premis bersejarah berusia lebih 100 tahun.

Ia termasuk kediaman Frank Swettenham iaitu individu yang bertanggungjawab dalam pembentukan Negeri Melayu Persekutuan (FMS) yang kini dikenali sebagai Carcosa Seri Negara, selain menjadi kediaman rasmi Pesuruhjaya Tinggi British sebelum ini.

Berdasarkan tinjauan BH di sekitar Bukit Persekutuan baru-baru ini, terdapat sekurang-kurangnya tiga projek pembangunan sedang giat dijalankan.

Ia termasuk di puncak bukit apabila kerja pembersihan hutan dan pengondolan tanah dilakukan, dipercayai untuk sebuah projek pembinaan.

Terdapat dua jentolak dan lori pengangkut tanah di situ, selain sebuah rumah pekerja dengan kerja pemasangan cerucuk giat dijalankan.

Selang kira-kira 500 meter iaitu di Jalan Negeri Sembilan di sebelah selatan, terdapat dua kawasan yang ‘ditutup’ dengan pagar, juga dipercayai kawasan itu sudah dibeli oleh syarikat binaan.

Tinjauan BH turut mendapati, kawasan perumahan di Bangsar Indah Condominium yang terletak di kaki bukit, mula terjejas apabila berlaku kejadian tanah runtuh baru-baru ini, akibat kawasan hutan berhampiran telah diterangkan.

Mengulas nasib yang menimpa Bukit Persekutuan, Presiden MNS, Prof Dr Ahmad Ismail, berkata ia agak mengecewakan memandangkan Bukit Persekutuan perlu dipertahankan dari sudut kepentingan alam sekitar.

“Jika kawasan hutan Bukit Persekutuan terus diganggu, kemungkinan kejadian banjir kilat di Kuala Lumpur akan lebih parah lagi.

“Amat penting Bukit Persekutuan dijaga, bukan sahaja sebagai green lungs Kuala Lumpur namun juga habitat bagi flora dan fauna membabitkan 234 spesies,” katanya.

Malah, Dr Ahmad berkata, sebuah bandar raya besar seperti Kuala Lumpur amat memerlukan kawasan hijau yang mencukupi bagi mengawal kejadian seperti banjir dan suhu bandar raya.

Ini kerana, katanya kawasan hijau dalam hutan sekunder Bukit Persekutuan mampu bertindak sebagai span untuk menyerap air selain mengawal aliran hujan yang lebat.

Selain itu katanya, penambahan projek pembangunan di Bukit Persekutuan juga berisiko menyebabkan kerosakan dan sistem perparitan tersumbat sehingga mengakibatkan kejadian banjir kilat bertambah buruk dengan nilai kerugian turut meningkat.

“Sementara diancam projek pembangunan, Bukit Persekutuan juga semakin terjejas apabila wujud kegiatan haram memburu hidupan khususnya burung dan tumbuh-tumbuhan di kawasan itu,” katanya.

Bukit Persekutuan yang diliputi hutan sekunder adalah bersempadan dengan Lebuhraya Sultan Iskandar (dahulu Lebuhraya Mahameru) hingga ke timur laut, Jalan Travers hingga ke tenggara dan Jalan Maarof ke barat daya.

Taman Botani Perdana atau dahulunya dikenali sebagai Lake Gardens, Kuala Lumpur pula terletak hanya di simpang ke Bukit Persekutuan.

Aktivis dan Pemegang Amanah Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan, Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor, pula berkata kawasan hijau Bukit Perrsekutuan perlu disimpan dan dipertahankan untuk keseimbangan ekosistem Kuala Lumpur.

Beliau berkata, ia penting dalam aspek simpanan air bersih, kawalan banjir, keseimbangan suhu bandar, menyerap gas rumah hijau akibat pelepasan gas berlebihan oleh kenderaan, industri dan aktiviti manusia yang lain.

“Kuala Lumpur perlu menjadi bandar raya bertaraf dunia iaitu bukan hanya bersandarkan kepada bangunan pencakar langit namun diseimbangkan dengan banyak kawasan hijau seperti di New York Central Park dan London Hyde Park.

“Pembangunan yang tidak lestari tanpa perancangan yang baik hanya akan menyumbang kepada bencana alam seperti banjir kilat, cuaca ekstrem.

“Bukit Persekutuan adalah suatu kawasan hijau yang wajib dikekalkan khususnya untuk kepentingan generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata, negara sudah menandatangani Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan 17 matlamat perlu dicapai oleh semua negara bangsa menjelang 2030.

Justeru katanya, adalah penting untuk kerajaan mengekalkan Bukit Persekutuan sebagai green lungs dengan tidak membenarkan pembangunan yang tidak sejajar dengan konsep mampan dan lestari.

Bukit Persekutuan terancam

• Pada 23 Oktober tahun lalu, berlaku jalan runtuh sejauh 40 meter di Lingkungan Negeri Sembilan di mana tanah itu ‘dibawa’ ke Jalan Limau Purut di Bangsar.

• Susulan kejadian itu, penduduk diminta untuk berpindah berikutan kawasan itu dikesan tidak selamat dan insiden terbabit adalah kali kedua dilaporkan berlaku dalam tempoh beberapa bulan.

• Keadaan itu menimbulkan kegusaran kawasan hijau bersempadan dengan Lebuhraya Sultan Abdul Halim hingga ke timur laut, Jalan Travers hingga ke tenggara dan Jalan Maarof ke barat daya bakal terancam fungsinya.

• Dengan keadaan ibu kota khususnya di Lembah Klang yang kian diancam dengan banjir kilat setiap kali hujan lebat meskipun dalam masa singkat, amat penting khazanah alam dipelihara.

• Berdasarkan maklumat Pencinta Alam Malaysia (MNS), Bukit Persekutuan turut penting dalam aspek pendidikan, kesedaran awam mengenai kehijauan bandar dan penyelidikan.

• Melalui tinjauan yang dibuat MNS, terdapat 234 spesies daripada 82 keluarga, termasuk spesies tempatan dan yang ditanam seperti spesies hutan dan pokok buah-buahan.

• 21 spesies adalah dikalangan tumbuhan terancam mengikut senarai merah Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN).

• Dari segi fauna pula, Bukit Persekutuan tempat tinggal bagi haiwan primat, mamalia kecil, burung termasuk yang berhijrah dan tempatan, reptilia, reptilia dan serangga. Terdapat 54 spesies burung dengan 34 daripadanya adalah burung yang dilindungi oleh undang-undang Malaysia.
BH

Bukit Persekutuan mula kena gondol


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Intan Najuwa calon menantu ‘limited edition’

Janna Nick persetan netizen

Mimy Fly terkilan teman lelaki dipanggil negro

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker