#PrkDunSemenyih : Zakaria bukan calang-calang calon-Najib

Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Zakaria Hanafi bukanlah calang-calang individu.

Katanya lagi, Zakaria merupakan calon tepat bagi mewakili BN kerana bekas penolong pegawai tadbir di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu begitu disenangi masyarakat tempatan di Semenyih.

“Calon kita ini anak tempatan dan banyak pengalaman, orang yang cukup matang dan disenangi oleh masyarakat tempatan, jadi tiada masalah dari segi pengenalan kepada masyarakat tempatan dan saya yakin dia boleh jadi wakil rakyat yang disenangi semua pengundi di sini.

“Saya difahamkan dia juga juara pidato UKM,s jadi bukan calang-calang orang, boleh bersyarah dengan cukup meyakinkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas makan tengah hari di sebuah gerai makan di pekan Semenyih di sini hari ini.

Ahli Parlimen Pekan itu juga sebelum itu turut menunaikan solat Jumaat di Masjid Raja Muda Musa, Semenyih.

Dalam pada itu, Najib berharap Zakaria dapat mengambil pendekatan sentiasa bersama rakyat sepanjang tempoh kempen PRK Semenyih yang akan bermula sebaik sahaja proses penamaan calon yang berlangsung esok.

“Dia juga mesti jaga bukan sahaja ahli parti tapi juga yang diluar parti, serta pengundi-pengundi tempatan lain,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker