Guru, jiran tak lapor jenayah seksual kanak-kanak akan didakwa

Guru, jiran tak lapor jenayah seksual kanak-kanak akan didakwa

Penguatkuasaan lebih tegas dan agresif akan dilaksanakan bagi membendung penderaan seksual terhadap kanak-kanak, dengan mendakwa guru, jiran atau orang awam yang menyembunyikan atau gagal melapor perbuatan itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata sehingga ini belum ada mereka yang didakwa berkaitan isu itu walaupun ia termaktub dalam Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).



Justeru, katanya, beliau mahu meneliti perkara itu dan berbincang dengan polis serta mahkamah supaya perkara yang termaktub dalam undang-undang itu dapat dikuatkuasakan.

“Kami bimbang ramai yang tahu mengenai berlakunya penderaan seksual kanak-kanak sama ada di rumah, sekolah dan kejiranan tetapi gagal melaporkan kes berkenaan.

“Mengikut akta berkenaan, adalah menjadi satu kesalahan jika seseorang itu mengetahui berlaku kes penderaan seksual kepada kanak-kanak tetapi tidak melaporkannya kepada pihak berkuasa.

“Ini termaktub dalam Seksyen 19, Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Aplikasi eKLINIK 6G Jabatan Bantuan Guaman di Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di sini, hari ini.



Hadir sama, Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dan Ketua Pengarah Jabatan Bantuan Guaman, Datuk Norazmi Mohd Narawi.

Seksyen 19 akta itu memperuntukkan hukuman kepada mana-mana orang yang tidak memberikan maklumat mengenai perlakuan atau niat mana-mana orang lain untuk melakukan kesalahan itu.

Akta itu juga menghendaki mana-mana orang yang mempunyai maklumat sedemikian, melaporkannya di balai polis berdekatan yang mana jika disabitkan kesalahan kerana kegagalan melapor itu boleh didenda maksimum RM5,000.

Azalina berkata, penguatkuasaan seksyen itu penting bagi memberikan mesej yang jelas kepada umum bahawa penderaan seksual kanak-kanak bukan hanya membabitkan mangsa dan pelaku kesalahan saja.



Katanya, kes penderaan seksual kanak-kanak ini juga membabitkan kesedaran dan kepedulian masyarakat.

“Ini adalah tanggungjawab bersama semua orang dalam komuniti bukan hanya isu keluarga saja.

“Saya mahu melihat jauh ke hadapan dalam isu ini dan sedang meneliti perkara ini dengan melihat kepada laporan mengenainya, kita nak tahu adakah jiran, guru atau ahli keluarga sedar akan tanggungjawab mereka untuk melaporkannya,” katanya.

Beliau menegaskan akan menemui Pesuruhjaya Kanak-kanak bagi membincangkan isu itu supaya dapat mewujudkan kesedaran komuniti mengenainya.



Terdahulu, dalam ucapannya, Azalina berkata, beberapa seksyen dalam Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 masih tidak dikuatkuasakan sepenuhnya.

Katanya, perkara itu antara inti pati utama dalam perjumpaan beliau dengan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) dan mahkamah, esok.

“Saya bimbang ada kes penderaan seksual kanak-kanak berlaku dan perkara ini diketahui ahli keluarga, jiran dan cikgu di sekolah yang nampak dan tahu tetapi tak nak memberikan laporan.

“Ini (penguatkuasaan) saya nak buat secara agresif sebab kalau jiran, ahli keluarga dan guru ambil sikap tidak mahu campur ini akan membebankan kanak-kanak yang jadi mangsa, sudahlah jadi mangsa ‘didera’ pula kerana tidak ada orang nak melaporkan,” katanya.



Beliau menegaskan tindakan itu adalah usaha perlindungan menyeluruh kepada kanak-kanak mangsa penderaan.

Dalam masa yang sama beliau turut mengucapkan penghargaan kepada Jabatan Bantuan Guaman yang cemerlang memberikan perkhidmatan pendamping kepada kanak-kanak mangsa penderaan seksual.

“Mahkamah memuji usaha yang dilakukan itu dan saya mahu khidmat pendamping kanak-kanak ini menjadi keutamaan jabatan dan diperkasakan lagi,” katanya. BH

Guru, jiran tak lapor jenayah seksual kanak-kanak akan didakwa



Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Dulu Pelakon Kini Pramugara

Ingat saya lembik – Shila Amzah

Transgender dipantau tentera saat tunai umrah (Video)

Wanita tayang punggung, payudara di Sabah

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker