Kesepakatan PH-BN dalam PRN mampu ‘terbalik’ keputusan PRU15

Kesepakatan PH-BN dalam PRN mampu ‘terbalik’ keputusan PRU15

Oleh Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani

Kenyataan Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang menangkis pandangan Perikatan Nasional (PN) akan menguasai beberapa negeri ditadbir Pakatan Harapan (PH), menghangatkan lagi polemik politik ketika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat hari ini.



Ini kerana, bagi Rafizi, pandangan PN itu tidak berdasarkan data penyelidikan, sebaliknya persepsi sentimen dimainkan melalui media sosial dan siri ceramah anjuran PN.

Rafizi menjelaskan data penyelidikan PH, gabungan itu bersama Barisan Nasional (BN) mampu memberikan saingan sengit di tiga negeri dikuasai PAS, sekali gus menawan Kedah dan Kelantan.

Malah, Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar menjangkakan jika berlaku peralihan 10 peratus sokongan daripada PN ke PH-BN, Kerajaan Perpaduan sudah mampu dibentuk di Kedah.

Berdasarkan tinjauan dilakukan, pandangan Rafizi dan Mahfuz ada asasnya meskipun Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menganggapnya angan-angan kosong mengambil kira keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).



Yang jelas, andai Muhammad Sanusi tahu gelombang hijau bakal melanda pada PRU15, sudah tentu Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah dibubarkan sama. Yang pasti, rata-rata penganalisis politik bersetuju gelombang itu sudah reda. Malah, pemimpin PAS melaungkan gelombang hijau sebelum ini, kini menjadikannya sebagai takrifan Islamophobia pula.

Ada beberapa faktor menjelaskan perubahan dinamik politik kini menyebelahi PH-BN.

Mengambil kira sokongan orang bukan Melayu, mereka akan menyokong PH-BN kerana tidak menerima pendekatan politik 3R (agama, bangsa dan raja) dimainkan PN, selain faktor tiada hala tuju dasar jelas ingin dibawa PN pada peringkat negeri, di samping penguasaan Kerajaan Perpaduan pada peringkat nasional.

Malah, faktor sama juga membawa perubahan sokongan orang Melayu kepada gabungan PH-BN nanti di Kedah, Terengganu dan Kelantan. Pada PRU15, jumlah pengundi Melayu menyokong PN adalah 67 peratus di Kedah; Kelantan (66 peratus) dan Terengganu (63 peratus ).



Sekiranya berlaku peralihan 10 peratus di Kedah misalnya, mengambil kira 22 peratus jumlah keseluruhan pengundi bukan Melayu yang majoriti besarnya menyokong PH, peluang memperoleh majoriti mudah boleh dilakukan PH-BN.

Meskipun jumlah 36 kerusi DUN perlu diambil kira, PH-BN mampu menterbalikkan keputusan PRU15 melihatkan banyak kawasan DUN ditakrifkan sebagai bandar dan separa bandar, sedangkan luar bandar hanya tertumpu di Baling, Padang Terap, Pendang dan Sik, apatah lagi pertandingan dua penjuru berbanding tiga penjuru semasa PRU15.

Melihat senario semasa khususnya di Kedah, PH-BN berjaya menunjukkan kesepakatan berhadapan dengan PN diketuai PAS. Tiada isu besar atau perbalahan wujud, malah PH-BN bekerjasama melalui cogankata #Kalih Bagi Sama, iaitu mewujudkan Kerajaan Perpaduan seperti peringkat nasional.

Isu paling utama sebenarnya adalah keperluan asas seperti air untuk minuman dan pertanian serta isu ekonomi, iaitu peluang pekerjaan, peluang perniagaan serta kos hidup.



Melihat hal ini, peranan Kerajaan Perpaduan pada peringkat nasional sangat penting untuk menyelesaikan isu air dan mewujudkan peluang ekonomi, selain meringankan beban rakyat.

Malah, agensi Persekutuan menguruskan hal ehwal padi, industri di Kulim dan pembangunan di Langkawi menjadikan peranan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan sangat penting di Kedah.

Kecenderungan pengundi atas pagar

Memandangkan kedudukan Kerajaan Perpaduan peringkat nasional sangat kukuh, ini menjadikan kerancakan ekonomi Kedah akan lebih berjaya sekiranya pentadbiran sama berlaku di negeri itu. Kebiasaannya, pengundi atas pagar cenderung mengundi parti mampu memberi kelebihan ekonomi.



Selain itu, golongan wanita yang merangkumi separuh jumlah pengundi dilihat agak terbuka di Kedah. PH-BN dilihat lebih mesra dengan kepemimpinan dan golongan wanita berbanding PN yang jelas dilihat tidak menggalakkan kepemimpinan wanita. Misalnya pada PRU15, Muhammad Sanusi pernah dikritik kerana isu panggilan ‘betina’ dan tidak sesuai menjadi wakil rakyat kerana sukar ‘dikacau’ dan tidak mampu kerja lewat masa. Kenyataan ini seolah-oleh merendahkan kemampuan wanita untuk menjadi pemimpin di negeri itu.

Sebaliknya, PH-BN dilihat akan memberi peluang wanita memegang jawatan utama dan kanan dalam kerajaan negeri jika mendapat mandat rakyat. Golongan wanita akan menjadi penentu dan kelebihan berpihak kepada PH-BN lebih mesra dengan wanita dan mampu mendapat sokongan mereka.

Faktor belia juga memainkan peranan utama dan semakin cenderung kepada PH-BN seperti dijelaskan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid. Peratusan pengundi antara 18-40 tahun adalah berjumlah 54 peratus dengan majoritinya pengundi atas pagar.

Mereka juga terkesan dengan faktor sosioekonomi dan bersifat antirasuah. Kempen berterusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menampakkan keseriusan menyelesaikan isu kemiskinan di Kedah antara negeri termiskin dan membanteras rasuah yang rata-rata mendapatkan sokongan rakyat.



Penduduk Kedah nampak Anwar sangat menekankan kedua-dua isu ini yang jelas memberikan keyakinan bahawa ia dapat ditangani dengan baik melalui agenda Malaysia MADANI. Malah perjumpaan Anwar dengan pelajar universiti dan sekolah secara langsung menarik minat golongan muda yang menjadi tanda kerajaan mendengar rintihan mereka dan mencari penyelesaian.

Akhir sekali isu taktik ketakutan melalui isu 3R. Biasanya ketika pilihan raya, penggunaan isu ini akan bertambah kerana ada pihak tidak bertanggungjawab mahu menakut-nakutkan rakyat supaya mengundi parti mereka.

Rakyat khususnya orang Melayu tidak harus termakan isu ini. Malaysia mempunyai Perlembagaan Persekutuan menjamin hak keistimewaan orang Melayu, Islam kekal sebagai agama rasmi Malaysia, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi serta institusi Raja Melayu dilindungi.

Komunis bukan lagi ancaman kepada Malaysia seperti dulu malah China menjadi rakan dagangan terbesar Malaysia kini. Agenda Kristianisasi dan Yahudi juga sedang ditangani pihak berkuasa melalui undang-undang ketat.

Kita juga tidak akan mengiktiraf negara Israel atau cara hidup LGBT, manakala kedaulatan negara akan terus dipertahankan. Oleh itu, isu 3R akan ditangani dengan tegas oleh pihak berkuasa hingga tidak sepatutnya dijadikan naratif mana-mana parti bagi menakutkan rakyat.

Melihat kepada semua faktor itu, sebenarnya adalah realistik bukan sahaja untuk melihat PH-BN kekal mempertahankan tiga negeri, iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, bahkan mampu menguasai negeri di bawah penguasaan PAS. BH

Penulis adalah Profesor Politik dan Hubungan Antarabangsa di Universiti Utara Malaysia (UUM)

Kesepakatan PH-BN dalam PRN mampu ‘terbalik’ keputusan PRU15

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Sakan berpeluk, Yasmin Hani dan Alif Hadi disaran kahwin cepat

Alif Satar tidur tepi jalan, tak mandi dua malam di Muzdalifah

Ajai bergelek atas pentas bersama Elly dan Rina Nose (Video)

Fouziah Gous bengang rakan artis liat bayar hutangnya (Video)

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker