Masalah air Kelantan, Nik Amar masih dalam penafian

Isu masalah air di Kelantan sentiasa menjadi buah mulut, dikritik dan diperdebatkan sama ada dalam kalangan rakyat yang terkesan mahu pun mereka yang menjadi musuh politik kepada PAS selepas parti itu mentadbir negeri Cik Siti Wan Kembang itu lebih 30 tahun lalu.

Menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-15 isu-isu membabitkan kemudahan infrastruktur dan janji-janji manifesto pastinya menjadi tumpuan pelbagai pihak untuk menilai sejauh mana keupayaan dan kecekapan sesebuah pentadbiran.

Pada kesempatan kali ini Malaysiakini membawakan wawancara dengan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Abdullah, yang tampil memberi penjelasan sekitar isu dan permasalahan bekalan air di negeri itu.



Anggota dewan undangan negeri (Adun) Panchor itu berkata, kerajaan negeri mengakui masalah air wujud sejak sekian lama namun perkara itu perlu dilihat dengan perspektif yang betul dan adil

Katanya, masalah bekalan air sebenarnya tidak terhad kepada Kelantan semata-mata, bahkan turut dialami negeri-negeri lain termasuk di Selangor yang lebih maju.

“Kita akui ada masalah air tetapi di Malaysia ini adakah Kelantan saja yang hadapi masalah air?

“Sebab itu sepatutnya kena ada keseimbangan (semasa menilai). Lihat Selangor yang ada duit banyak dan maju pun berlaku gangguan-gangguan dan masalah air.



“Negeri-negeri yang diperintah BN sendiri pun ada masalah air.

“Justeru kalau kita fikir hanya kerana PAS memerintah Kelantan maka wujud masalah air – itu tak betul,” katanya.

 

Punca munculnya Wasia



Tambah Mohd Amar, jika ada pihak yang mahu menyalahkan kerajaan Kelantan dan mahu agar parti pemerintah di tukar, mereka perlu berfikir dengan wajar.

Andainya PAS digantikan dengan BN Kelantan, katanya, orang ramai perlu menyedari bahawa masalah air juga berlaku di negeri ditadbir parti terbabit.

“Nak bagi kepada PH (perintah) pun sama. Selangor tu negeri PH. Maka nak tukar kerajaan ini tak boleh selesai masalah (air),” katanya ketika ditemui Malaysiakini di pejabatnya baru-baru ini.

Mohd Amar yang juga naib presiden PAS menegaskan, semua negeri di Malaysia tidak mampu berdiri sendiri dalam permasalahan bekalan air kecuali dengan bantuan kerajaan persekutuan.



Jelasnya, ia dibuktikan apabila kerajaan persekutuan memperkenalkan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Wasia).

Semasa membentangkan akta berkenaan, katanya, menteri terbabit menyatakan di parlimen betapa semua kerajaan negeri tidak mampu menguruskan air di negeri masing-masing kerana masalah kewangan dan memerlukan peruntukan daripada kerajaan pusat.

“Kalau diberi pinjam duit pun, tak bayar – dia kata, jadi daripada kita buat macam itu (pinjaman) baiklah kerajaan pusat ambil alih. Itu yang (digubal) Akta Wasia… kita panggil migrasi.

“Cuma negeri lain dapat peruntukan (lebih banyak) macam Pulau Pinang dan Johor, (tapi) kita di Kelantan nak dapat RM600 juta pun susah. Tiba-tiba tuduh Kelantan macam-macam.



“Cuba kalau bagi RM2 bilion dari awal pada 2016 untuk migrasi, banyak masalah dan isu air boleh selesai,” katanya.

Menjelaskan hal itu Mohd Amar berkata kenyataan tersebut bukanlah bermakna Kelantan mahu memberi alasan tetapi sebaliknya agar semua pihak dapat melihat isu berkenaan dari perspetif yang betul.

 

Sebab tak diberi duit



Pada ketika ini tambahnya orang ramai melihat kemelut air di Kelantan dari “perspektif yang salah.”

Sementara itu menyentuh dakwaan PAS bersikap menyalahkan Umno dalam isu tersebut Mohd Amar berkata, dia hanya menceritakan sejarah di sebalik masalah dan kekangan yang timbul.

Katanya, dia tidak bermaksud mahu menyalahkan BN, namun perlu menceritakan sejarah selepas parti gabungan yang disertai bersama MCA dan MIC itu memainkan isu berkenaan.

“Sedangkan punca daripada Umno. Dia (Umno) katak (pukul) kaki kita hingga patah, lepas itu dia kata kita kewek (cacat). Padahal dia jadi punca kaki kita kewek.

“Itu masalahnya, orang kata kenapa tak pasang besi di kaki kewek, (jawabnya) sebab duit tak ada nak beli besilah,” ujarnya dengan nada berseloroh.

Justeru jelasnya, dalam isu bekalan air berkenaan kerajaan Kelantan berharap agar rakyat dapat melihat dengan persepsi yang betul dan mengkritik secara adil.

Kata Mohd Amar, kerajaan Kelantan dan PAS bukanlah tidak boleh dikritik langsung.

“Orang kata 30 tahun cari alasan… (sebenarnya) bukan cari alasan tetapi kita ini dah 30 tahun mengalami masalah, tiba-tiba nak suruh kita berlari dalam masa segera, memang tak boleh.

“Kelantan sekarang memanglah sebahagian daripada kerajaan pusat tetapi baru berapa bulan, berapa tahun? Takkan penyakit 30 tahun boleh selesai dalam masa dua tahun,” jelas Mohd Amar.

“Kalau nak selesai semua tapi tak ada peruntukan memang lambatlah, kalau turun peruntukan dengan anggaran kasar RM7 bilion diperlukan pun tak boleh selesai dalam satu hari,” jelasnya.

 

Biar kekal di pusat

Sehubungan itu jelas Mohd Amar lagi, kerajaan Kelantan sentiasa berusaha memberikan khidmat sebaik yang termampu dalam menangani permasalahan bekalan air di seluruh negeri.

Katanya, proses penyelesaian mengambil masa dan kerajaan negeri sudah bergerak ke arah lebih baik dari semasa ke semasa.

“Usaha banyak diambil, tapi kelemahan Kelantan (ialah) tak tunjuk sangat apa yang kita dibuat.

“Kita jenis orang tawaduk, jenis tok lebai tak cerita banyak. Sekarang ini kita dah minta pihak Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) supaya menguar-uarkan usaha-usaha yang dibuat, pencapaian dan perancangan yang dilaksanaka,” katanya.

Langkah itu, menurut Mohd Amar, memerlukan masa dan pada masa sama kerajaan negeri berusaha semampu yang boleh.

“Rakyat Kelantan kena bagi peluang lagi kepada PAS, bukan hanya sepenggal kalau boleh sampai bila-bila pun.

“Banyak boleh selesai, biar kita kekal jadi kerajaan persekutuan,” katanya Mohd Amar.

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Bill Gates ramal dunia dilanda pandemik baharu 20 tahun lagi

Najib bidas Kit Siang, balun Mahathir, cakap tidak serupa bikin

Pejuang umum akan ‘perangi’ semua kerusi Bersatu dalam PRU-15

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker