PH ‘usung’ bekas Gabenor Melaka

PH ‘usung’ bekas Gabenor Melaka

Bekas Yang Dipertua Negeri Melaka Mohd Khalil Yaakob sekali lagi muncul dalam kehangatan politik di negeri itu menjelang hari pengundian pada Sabtu ini.

Hari ini Mohd Khalil dilihat hadir bersama pemimpin Pakatan Harapan di DUN Ayer Molek yang terletak di bawah kawasan parlimen Hang Tuah Jaya.

Ia adalah kemunculan hari kedua berturut-turut Mohd Khalil bersama wakil PH.

Semalam Mohd Khalil yang pernah berkhidmat sebagai menteri besar Pahang itu hadir di kawasan DUN Kuala Linggi. Menyertai Mohd Khalil ialah Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

Menurut Naib Presiden Amanah Mujahid Yusof, dia berkesempatan bertemu dengan Mohd Khalil dalam program kempen PH.

“Ini menandakan satu isyarat positif kepada Pakatan Harapan,” katanya dalam hantaran di Facebook petang tadi.

Turut kelihatan dalam gambar yang mengiringi hantaran tersebut ialah Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail dan Bendahari Agung Amanah merangkap Pengerusi Amanah Selangor Izham Hashim.

Ahli Jawatankuasa Amanah Nasional Hanipa Maidin pula mendakwa pada awalnya Mohd Khalil bercadang untuk berkunjung ke kawasan Serkam. Bagaimanapun atas sebab yang tidak dapat dielakkan, kunjungan tersebut terpaksa dibatalkan.

Semalam Mohamad Sabu menyifatkan kehadiran Mohd Khalil Yaakob bersama calon PH di Kuala Linggi memberi impak positif buat gabungan berkenaan menghadapi PRN tidak lama lagi.

Jelas Mohamad sokongan Mohd Khalil secara tidak langsung membuka jalan kepada PH dan Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari untuk kembali menerajui kerajaan negeri.

“Kesudian Tun Khalil untuk bersama dengan saya dan calon PH, Julasapiyah Kassim, menyantuni para nelayan di Balai Nelayan Tanjung Dahan, Kuala Linggi petang ini amat menyentuh perasaan,” kata Mohamad.

Selain berkhidmat sebagai menteri besar Pahang selama 13 tahun, Mohd Khalil juga pernah diberi kepercayaan menjadi setiausaha agung Umno antara Mei 1999 sehingga Mei 2004.

Beliau kemudian dilantik menjadi Yang Dipertua Negeri Melaka pada Jun tahun berkenaan sehinggalah Jun 2020.

Dalam PRN ini seramai empat calon bersaing untuk merebut kerusi Kuala Linggi iaitu Rosli Abdullah (Umno-BN), Julasapiyah Kassim(Amanah-PH), Aziah Mohd Sa’ad (PAS-PN) dan Kamisan Palil (bebas).

Di DUN Ayer Molek pula PH diwakili Mohd Rafee Ibrahim (PKR-PH) yang berdepan cabaran Rahmad Mariman (Umno-BN), Mohd Fadly Samin (Bersatu-PN) dan Ahmad Muaz Idris (bebas). Mk

PH ‘usung’ bekas Gabenor Melaka


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Gangguan seksual berleluasa dalam industri hiburan

Mawar Rashid dilabel materialistik

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker