PKR boleh simpan angan-angan tawan Ampang, Gombak – Pegawai Zuraida

Nor Hizwan Ahmad, setiausaha politik kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata PKR perlu berhenti memasang impian untuk menang kerusi parlimen Ampang dan Gombak pada pilihan raya akan datang.

Kenyataan ini dikeluarkan, selepas PKR mengadakan majlis taklimat akar umbi di Ampang pada minggu lalu untuk menjelaskan pengkhianatan anggota parlimen PKR yang diketuai oleh Menteri Kanan Azmin Ali kepada Perikatan Nasional.

Antara pemimpin PKR yang berpaling tadah, termasuklah Zuraida, yang juga ahli parlimen Ampang dan Azmin yang mewakili parlimen Gombak, berdekatan dengan Ampang.

Nor Hizwan berkata seperti yang dijangka, sesi taklimat itu mengajukan agenda peribadi Presiden PKR, Anwar Ibrahim dan menggambarkan pemimpin PKR yang membentuk PN sebagai pengkhianat.

“Sasaran khusus perkataan khianat yang dituju kepada Ahli Parlimen Ampang dan Gombak itu jauh tersasar. Saya percaya rakyat dan pengundi masa kini tidak termakan dengan dakyah dan propaganda.

Melalak seperti tong kosong

“Mereka telah muak dan mual. Dalam keadaan negara yang kian bangkit akibat pandemik Covid-19 lalu, seluruh negara khususnya mahukan pemimpin yang mendahulukan kepentingan rakyat.

“Dalam hal ini kedua ahli parlimen Ampang dan Gombak mempunyai rekod perkhidmatan yang baik dan diakui oleh rakyat. Ia dapat dilihat dan bukan rahsia lagi.

“Maka simpanlah angan-angan mahu menawan kedua kawasan ini, kerana kesemua yang hadir di Ampang siang itu hanyalah juara retorik yang kuat melalak dan membuat bising seperti tong kosong yang digendang,” katanya dalam suatu kenyataan hari ini.

Ampang dan Gombak adalah kerusi tradisi PKR. Usaha merebut kembali kedua parlimen tersebut akan menjadi ujian penting tahap sokongan buat parti itu selepas kerosakan yang ditimbulkan oleh Azmin dan penyokongnya.

Perpecahan itu merupakan kemuncak konflik antara Anwar dan Azmin.

Azmin membawa sembilan ahli parlimen lain daripada PKR untuk berpaling tadah dan kemudiannya merancang supaya wakil rakyat lain parti itu melakukan langkah serupa.

Nor Hizwan berkata wakil rakyat yang menukar sokongan daripada PH bukanlah pengkhianat kerana mereka tetap setia kepada matlamat perjuangan mereka.

“Bukanlah khianat jika mana-mana pemimpin mengubah bahtera mereka demi meneruskan agenda membela rakyat.

“Perjuangan politik yang berlandaskan kesetiaan membuta tuli lebih-lebih lagi demi merealisasikan mimpi kabur beberapa kerat pemimpin adalah corak politik kuno dan ketinggalan.

“Kesetiaan adalah pada prinsip, pada perjuangan membela nasib rakyat dan pada khidmat yang akhirnya memberi manfaat kepada keseluruhan rakyat,” katanya lagi.

Pengkhianat sebenar, jelas Nor Hizwan ialah mereka yang menjanjikan “bulan dan bintang” tetapi tidak dapat menunaikannya.

“Suka saya ingatkan PKR bahawa Ampang dan Gombak adalah wilayah di mana rakyatnya peka, terbuka dan bijaksana.

“Mereka mahukan tindakan, kepedulian dan keprihatinan untuk menyelesaikan masalah serta meningkatkan kehidupan mereka. Mereka mual dengan perebutan kuasa,” katanya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker