Polis buru ahli ‘Geng 21’ libat kes samun, cubaan bunuh

Polis sedang mengesan seorang ahli kumpulan “Geng 21” yang terlibat kejadian samun, cubaan membunuh dan melepaskan tembakan di depan sebuah pangsapuri dekat Permai Plentong awal Mac lalu.

Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, suspek lelaki tempatan dikenali sebagai B Sarjit Singh, 23, berasal dari Kampung Sungai Plentong.

“Polis Johor menyeru orang ramai sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung orang dikehendaki ini untuk segera menghubungi pegawai penyiasat atau balai polis berdekatan.

“Kami juga ingin menegaskan polis sentiasa memandang serius kes jenayah berat agar siasatan dan risikan teliti dapat dijalankan dan membawa suspek ke muka pengadilan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata, dalam kejadian 8 Mac lalu tiga suspek Geng 21 yang bersenjatakan sepucuk pistol cuba menyamun 4 lelaki berusia 19 hingga 28 tahun yang berada dalam sebuah kenderaan di depan pangsapuri berkenaan.

Suspek yang turut menaiki sebuah kenderaan melanggar belakang kenderaan mangsa dan melepaskan 5 das tembakan dan 1 das menembusi peha kanan seorang daripada mangsa.

Bagaimanapun, cubaan menyamun itu gagal dan suspek gagal memperoleh sebarang harta atau barang berharga semua mangsa.

Menurutnya, susulan itu pihaknya menubuhkan pasukan siasatan khas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor dibantu JSJ Bukit Aman pada 10 September lalu yang membawa kepada penahanan 7 lelaki berumur 23 hingga 44 tahun bagi membantu siasatan.

“Bagaimanapun, hanya 3 ditahan dan dituduh bawah Seksyen 3A Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang jika disabitkan kesalahan membawa hukuman mati. Seorang daripada suspek ini juga diambil tindakan bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca),” katanya.

Katanya, suspek yang ditahan bawah Poca mempunyai 9 rekod jenayah lampau berkaitan culik, dadah, perjudian dan kegiatan jenayah lain.

“Geng 21 dipercayai aktif melakukan kegiatan jenayah kekerasan seperti bunuh menggunakan senjata api sejak 2016 dan merupakan antara 8 geng kongsi gelap yang dikenal pasti masih aktif di negeri ini,” katanya. Bernama

2 das tembakan untuk halang suspek

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker