Pakar: Lambakan info berkait Covid-19 undang masalah mental

Pakar perunding psikiatri memberi amaran “lambakan maklumat ” mengenai wabak Covid-19 yang menyaksikan perintah kawalan pergerakan yang sepatutnya berakhir hujung bulan ini dilanjutkan 2 minggu lagi boleh mengakibatkan tekanan mental dalam kalangan sesetengah individu, terutama mereka yang mungkin mempunyai sejarah masalah kesihatan mental.

Daripada mesej WhatsApp ke tajuk utama akhbar, portal dalam talian dan di media sosial, berita mengenai virus itu yang setakat ini mengorbankan 20 nyawa di Malaysia muncul di mana-mana.

Philip George, yang mengetuai Jabatan Psikiatri di International Medical University (IMU) berkata, individu yang mengalami tekanan akibat masalah keluarga, pekerjaan atau kewangan lebih cenderung dipengaruhi berita yang tersebar.

“Risiko masalah kesihatan mental meningkat dengan gabungan faktor-faktor ini,” katanya, sambil menambah pendedahan lebih banyak kepada kandungan berita mengenai Covid-19 tidak semestinya membawa kepada masalah kesihatan mental.



“Ia bergantung pada tahap kelemahan individu berkait masalah kesihatan mental dan filem yang mereka tonton… sama ada ia memberikan pendedahan lebih banyak (kepada Covid-19) atau merupakan pelepasan diri (daripadanya).”

Untuk mengurangkan risiko itu George berkata, adalah penting untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan boleh dipercayai.

Beliau memuji pelbagai platform media sosial Kementerian Kesihatan yang berkredibiliti dan kerap dikemas kini, sekali gus menyarankan supaya orang ramai mengehadkan maklumat yang diterima mengenai virus itu.

“Kita perlu mendapatkan maklumat yang tidak menimbulkan salah faham, selain tidak tidak merosakkan.



“Orang ramai harus mengehadkan maklumat berkaitan Covid-19 yang mereka terima, mungkin sehari sekali, terutama mereka yang cenderung untuk panik dan ada masalah kesihatan mental lain,” katanya.

Penasihat Persatuan Malaysian Healthy Ageing, Nathan Vytialingam turut menyuarakan kebimbangan mengenai kesan terlalu banyak menonton televisyen dengan berkata, laporan berita negatif memberi kesan buruk kepada golongan warga emas.

“Saya fikir jika anda menonton CNN dan BBC setiap hari dan ia adalah cerita yang sama mengenai Covid-19, dan jika terdapat banyak unsur negatif daripada laporan berita seperti jumlah kematian, maka ia akan memberi tekanan kepada anda.

“Beberapa laporan berita, seperti jumlah kematian di Itali, boleh memberi tekanan, terutama untuk golongan yang lebih berusia,” kata Vytialingam, yang merupakan seorang ahli terapi pekerjaan.



Peter Voo, seorang profesor madya di Fakulti Psikologi dan Pendidikan Universiti Malaysia Sabah berkata, menjadi perkara biasa orang ramai merasakan perlu untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai Covid-19.

Walaupun tidak ada salahnya orang ramai kerap berada dalam talian untuk mendapatkan maklumat terkini katanya, namun ada kemungkinan kandungannya menjadi “tepu”.

Pada ketika itu beliau berkata, ia bergantung kepada individu untuk menangani keadaan itu.

Voo juga memberi amaran bahawa warga tua atau mereka yang tinggal bersendirian lebih terdedah kepada tekanan perasaan.



Beliau berkata, ini menjadikan peranan pekerja sosial lebih penting berikutan perintah kawalan pergerakan yang menghalang segelintir pihak mendapatkan sokongan secara bersemuka daripada keluarga, kawan dan komuniti yang lebih luas.

Vytialingam mengakui kekangan perintah kawalan, tetapi mencadangkan supaya orang ramai berusaha mewujudkan struktur baru setiap hari yang akan membantu mereka tidak berfikir mengenai Covid-19.

“Lakukanlah sesuatu yang membuat anda berasa gembira, seperti bersenam atau berkebun,” katanya.

“Ini semua adalah mengenai cara bagaimana kita menggunakan masa melakukan sesuatu yang menyeronokkan. Anda akan terkejut bagaimana cepatnya masa berlalu.”



FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker