PM: Vaksin Covid-19 akan diberi percuma

Vaksin Covid-19 akan diberikan secara percuma kepada rakyat Malaysia manakala warga asing akan dikenakan caj yang akan ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kata Muhyiddin Yassin hari ini.

Perdana Menteri berkata pada masa yang sama, kerajaan tidak bercadang untuk mewajibkan pengambilan vaksin itu dan ia hanya akan diberikan kepada mereka yang bersetuju untuk mengambilnya secara sukarela terutama golongan berisiko dan mudah menghidapi penyakit.

“Saya dengar banyak pihak di luar sana sedang menunggu-nunggu untuk mendapatkan suntikan vaksinasi Covid-19 ini dan mereka hendak hidup seperti normal, tidak mudah dijangkiti dengan apa-apa penyakit.

“Pastinya kita harap dengan langkah yang kerajaan ambil untuk membekalkan vaksin ini nanti, maka lebih ramai rakyat dapat kita selamatkan daripada wabak ini pada masa depan,” katanya pada sidang media secara maya di sini.

Sidang media berkenaan turut dihadiri Menteri Kesihatan Dr Adham Baba dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.

Malaysia akan mendapatkan bekalan 12.8 juta dos vaksin Covid-19 bagi menampung keperluan imunisasi 20 peratus atau 6.4 juta rakyat negara ini tahun depan.

Sementara itu bagi menangani gerakan kumpulan antivaksin termasuk vaksin Covid-19, Muhyiddin berkata kerajaan mengatur strategi menanganinya di peringkat kebangsaan dan negeri dengan memperkukuhkan advokasi tentang pentingnya untuk mengambil imunisasi itu.

Katanya, ia dilakukan secara komprehensif termasuk menerusi kenyataan kepada media, laporan media, penerbitan, tv dan radio serta media sosial selain mengadakan lebih banyak seminar kesihatan, sambutan Hari Imunisasi Sedunia dan Minggu Imunisasi Sedunia.

Menurutnya untuk peringkat komuniti dan klinik kesihatan pula, langkah bersesuaian juga diambil untuk memberitahu kepada masyarakat dan pemimpin dalam komuniti tentang pentingnya rakyat perlu terlibat dalam program imunisasi itu.

Bagaimanapun, jelas perdana menteri, setakat ini program imunisasi itu tidak akan melibatkan pelajar sekolah.

Sebelum ini, Khairy ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat memaklumkan bahawa ketika ini pembangunan vaksin Covid-19 hanya tertumpu kepada golongan dewasa sahaja.

Tambah Khairy, mana-mana vaksin Covid-19 yang dibangunkan setakat ini belum lagi diuji kepada kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah. Bernama

COVID-19: Bukan semua boleh selesai dengan vaksin – Pakar

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker