Nelayan OKU keluar candat sotong ditemui maut dalam bot

Seorang nelayan orang kelainan upaya (oku) ditemui meninggal dunia di atas bot gentian kaca miliknya ketika keluar mencandat sotong.

Mayat Ahmad Saufie Mohamed, 34 tahun, dijumpai adiknya kira-kira jam 5.10 petang Isnin sekitar jarak lima batu nautika dari Kampung Batu Buruk di sini.

Menurut rakan mangsa, Mohd Sahid Said, kira-kira pukul 6 petang Ahad, dia bersama mangsa serta seorang lagi rakan menaiki bot berasingan untuk mencandat sotong dan berlabuh tidak jauh daripada satu sama lain.

Keesokan harinya, sebelum bergerak untuk pulang, dia menghampiri bot Ahmad Saufie dan cuba mengejutkan mangsa, namun tiada balasan.

Mohd Sahid menyangkakan Ahmad Saufie sedang tidur.

“Semalam, dalam pukul 1, terjadi hujan lebat dan angin kencang. Lebih kurang pukul 4, lampu generator candat sotong mati. Kemudiannya, dalam 10 minit selepas itu, ia hidup balik.

“Dua kali terjadi begitu, sampai ke pagi. Saya pergi untuk kejutkan dia, tak bangun, saya pun tinggalkan dia. Biasanya, kejutkan tiga empat kali, dia dah bangun.

“Kali terakhir saya jumpa dia di pengkalan, jadi, saya tak tahu masa mana dia habis umur,” kata Mohd Sahid.

Dia berkata, lazimnya selepas waktu Subuh, mereka akan berjumpa di pengkalan.

Namun, sehingga petang Isnin itu, mangsa masih tidak pulang.

Sementara itu, pagi semalam, adik mangsa yang turut keluar menangkap ikan sekitar jam 11 pagi mengesan bot abangnya sedang berlabuh dan menyangka abangnya masih tidur.

Bagaimanapun, sekitar jam 5 petang, selepas mendapat panggilan telefon daripada ahli keluarga memaklumkan Ahmad Saufie belum pulang, dia bergegas kembali ke bot milik abangnya dan mendapati mangsa telah meninggal dunia.

Kejadian disahkan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. AWANI

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker