Tiga penjenayah seludup senjata api, curi kereta mati ditembak
Oleh – Syeikh Baran
Tiga penjenayah warga tempatan yang terlibat dalam kegiatan penyeludupan senjata api, curi kenderaan mewah dan samun mati ditembak di Jalan Changkat-Pulau Burung, Nibong Tebal di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, ketiga-tiga suspek berusia antara 30 hingga 42 tahun yang menaiki dua buah kereta jenis Honda Accord dan Perodua Myvi disahkan mati di tempat kejadian.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, pasukannya telah terserempak dengan dua kereta yang dinaiki ketiga-tiga suspek terbabit yang ketika itu berada dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, suspek kemudiannya bertindak melepaskan tembakan ke arah kenderaan pasukan polis sebaik anggotanya memperkenalkan diri.
“Polis telah melepaskan beberapa das tembakan bagi mempertahankan diri dan hasil pemeriksaan lanjut, didapati kesemua suspek mati di tempat kejadian. Siasatan lanjut, kesemua suspek dipercayai dalam perjalanan untuk melakukan samun di lokasi yang telah mereka kenal pasti,” katanya pada sidang akhbar di IPK Pulau Pinang petang tadi.
Dalam pada itu, katanya lagi, kesemua mereka tidak mempunyai pekerjaan dan hasil pemeriksaan mendapati suspek pertama berusia 42 tahun dipercayai merupakan ketua kumpulan yang mempunyai 43 kesalahan lampau berkaitan jenayah dan narkotik.
“Suspek kedua mempunyai enam rekod lampau kesalahan narkotik manakala suspek ketiga tidak mempunyai sebarang pengenalan diri. Mereka dipercayai rakan sejenayah dan aktif dalam kegiatan samun pecah rumah dan curi kenderaan sejak awal tahun ini,” katanya.
Tambahnya, modus operandi kumpulan ini adalah mereka menyamun rumah mewah dan akan mencuri kenderaan pacuan empat roda serta kereta mewah dan kemudiannya menjualnya ke negara jiran.
“Selain itu polis turut menjumpai empat magazin 9 mm luger mengandungi empat butir peluru 9 mm serta dua bilah parang, sebatang kuku kambing dan sebatang tukul besi serta pelbagai barangan lain,” katanya.
Sumber – KOSMO! ONLINE